23 October 2008

Ahli perniagaan mati ditembak ~ Utusan

BUKIT MERTAJAM 22 Okt. - Seorang ahli perniagaan mati ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki bermotosikal di persimpangan lampu isyarat dekat Permatang Tinggi di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, Teh Hooi Koi, 44, yang memandu kereta bersendirian ditembak enam das.

Hooi Koi dari Taman Sejahtera India disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.40 malam ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Mohamed Shah Hussin Shah berkata, Yor Kooi dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas keluar kira-kira pukul 4 petang.

Katanya, sebaik tiba di salah satu persimpangan lampu isyarat tersebut, dua lelaki bermotosikal menghampiri kereta mangsa dan melepaskan tembakan di sebelah kanan tingkap hadapan kenderaannya.

"Salah seorang suspek melepaskan enam das tembakan dan terkena badan mangsa sebelum melarikan diri ke lokasi yang belum dikenal pasti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohamed Shah, polis masih menyiasat motif pembunuhan tersebut dan setakat ini belum ada sebarang tangkapan dilakukan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Pada masa sama polis akan menyiasat kejadian ini di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana kesalahan melepaskan tembakan di tempat awam," tambahnya.

No comments:

Post a Comment