PEKAN 24 Okt. – Ratu jazz, Datuk Sheila Majid yang menjadi artis tempatan tunggal menerima gelaran Datuk daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah hari ini menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan kepadanya setelah lebih 20 tahun bergiat dalam industri seni tanah air.
Sheila atau nama sebenarnya Shahiela Abdul Majid, 43, dianugerahi Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia - Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.
Beliau mengakui terkejut ketika dimaklumkan mengenai penerimaan anugerah itu, namun amat berbesar hati dengan penghargaan yang dikurniakan Sultan Ahmad Shah itu.
‘‘Saya sangat bersyukur dengan anugerah yang diberikan, ia adalah satu penghargaan kepada kerja-kerja yang saya lakukan, bakat saya dan mungkin sumbangan saya kepada negara,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.
Pada majlis yang diadakan di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini, Sheila yang berbaju kurung merah hati hadir ditemani suami, Hashridz Murshim Hassim atauAcis.
Kerjaya seni ibu kepada empat cahaya mata itu bermula pada tahun 1985 melalui pelancaran album pertamanya, Dimensi Baru.
Sheila juga merupakan antara artis tempatan yang berjaya melebarkan kerjaya seninya ke luar negara termasuk Indonesia, Jepun dan United Kingdom.
Terbaru, Sheila dilantik sebagai duta Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) bagi mengumpul dana membantu pesakit jantung institut itu yang terdiri daripada bayi dan kanak-kanak untuk menampung kos perubatan mereka yang mencecah ribuan ringgit seorang.
Ditanya adakah dirinya akan menggunakan panggilan Datuk, beliau berkata: “Saya akan tetap kekalkan nama Sheila Majid kerana itu adalah nama saya dalam bidang nyanyian.
‘‘Namun saya juga tidak boleh menolak untuk menggunakan gelaran Datuk terutama pada majlis-majlis tertentu yang memerlukan formaliti.”
Katanya, jika beliau tidak menggunakan gelaran itu bagi majlis-majlis tertentu, ia seolah-olah menggambarkan sikap beliau tidak menghargai anugerah Sultan Pahang.
No comments:
Post a Comment