PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu 'diam' mulai sekarang hingga Mac tahun depan.
“Diam,” jawabnya ringkas ketika ditanya apakah yang perlu dilakukan Abdullah mulai sekarang hingga Mac tahun depan.
Bekas Perdana Menteri itu mengakui dia gembira apabila jangkaannya silap bahawa Abdullah tidak akan berundur sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.
Katanya, beliau terperanjat apabila mendengar pengumuman Abdullah semalam bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno dan akan melepaskan teraju kepemimpinan negara.
“Saya gembira kerana Umno akan dapat dibina semula,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Dr Mahathir, yang selama ini begitu lantang meminta Abdullah berundur sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu, berkata beliau berharap Abdullah tidak akan mengenakan sebarang sekatan dan halangan dalam tempoh peralihan kepemimpinan itu.
Menjawab soalan sama ada beliau akan kembali menganggotai Umno selepas Mac tahun depan, Dr Mahathir berkata, beliau akan berbuat demikian dengan syarat mereka yang meninggalkan parti itu bersama beliau, turut diterima semula.
Diminta mengulas mengenai Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin yang berkemungkinan menjadi Perdana Menteri selepas ini, Dr Mahathir berkata, beliau tidak tertarik dengan prestasi Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri sekarang kerana sering mengikut nasihat Abdullah dan oleh itu, Najib perlu membuat perubahan apabila mengambil alih teraju kepemimpinan negara kelak.
Mengenai orang yang berkemungkinan menjadi timbalan Najib, Dr Mahathir berkata, ia sepatutnya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pesaing lain yang ada sekarang bagi mengisi jawatan Timbalan Presiden Umno hanyalah ‘pak lawak’ semata-mata.
No comments:
Post a Comment