MELEWATI hari-hari yang penuh mencabar tatkala diri perlu berperang dengan penyakit yang entah bila akan sembuh pastinya memberikan seribu dugaan yang tidak terkata buat primadona yang satu ini.
Duka dan lara hati hanya dirinya sahaja yang tahu walhal masyarakat boleh melemparkan pelbagai persepsi kepada dirinya.
Namun, jangan dipandang dengan sebelah mata dengan kelemahan dirinya.
Lahiriah mungkin lemah tetapi intipati dalamannya yang menjadi kekuatan dirinya untuk terus menjalani dan menghabiskan sisa-sisa hidup bersama keluarga tercinta yang tidak pernah sesekali mengeluh mahupun merungut untuk menjaga dirinya.
Jauh di lubuk hati anak wayang bernama Azean Irdawaty ini, sudah lama dia memendam rindu untuk bertemu dengan dua insan yang banyak memainkan peranan yang cukup penting dalam pembangunan karier seninya sehingga bergelar primadona filem Melayu yang tiada tandingannya.
Mereka yang dimaksudkan Azean atau mesra disapa Kak Yan ini adalah Zainuddin Noordin dan isterinya, Sharul Bariah Abu Bakar yang berjaya membentuk diri anak kelahiran Alor Merah, Kedah itu menjadi seorang aktres yang cukup disegani serta dihormati di negara ini.
Tidak pernah putus memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa untuk dirinya dipertemukan dengan suami isteri ini setelah hampir sedekad terputus hubungan.
Malah, dalam berdepan dengan situasi yang cukup menyulitkan kini, Azean merasakan kekuatannya akan bertambah apabila dapat dipertemukan dengan dua insan ini.
Permintaan Azean disahut oleh Utusan Malaysia dan menerusi ruangan gosip Papa Gosip yang tersiar pada 8 Oktober lalu memberikan seribu makna yang tidak mampu diungkapkan oleh seniwati handalan ini.
Di kala dia keletihan dan berbaring di rumahnya selepas menjalani rawatan kemoterapi, entah bagaimana bagaikan ada kuasa magis yang meresapi dirinya sebaik sahaja mendapat panggilan telefon daripada Sharul.
Girang hati Azean hanya Allah sahaja yang tahu dan kudrat yang sebelumnya berkurangan, tiba-tiba bertambah lantas Azean begitu bersemangat untuk menyediakan hidangan buat tetamu istimewa yang akan berkunjung ke terataknya itu.
Suami tercinta, Khairil Anwar ZM Rashidi atau Abang Karl hanya mampu tersenyum melihat gelagat isterinya yang begitu teruja untuk menyediakan rendang ayam yang sering dihidangkan buat tetamu yang hadir setiap kali tibanya Syawal.
Azean begitu bertuah kerana memiliki dua orang anak dara iaitu Elza Irdalynna dan Inessa Irdayanty yang begitu setia serta cukup rajin membantunya di dapur menyiapkan segala keperluan untuk santapan tetamu.
Tarikh 9 Oktober 2008 pastinya menjadi tarikh keramat kerana dalam diri Azean kerana dalam suasana yang tenang sambil disaksikan langit biru yang menjadi saksi pertemuan jejak kasih yang begitu menyentuh jiwa.
“Sudah suratan takdir hari ini saya dapat bertemu dengan dua orang yang amat saya sayangi kerana tanpa mereka, tidak mungkin saya menjadi Azean Irdawaty yang dikenali hari ini.
“Dalam menghadapi hidup dan melawan penyakit saya ini, tidak pernah saya putus berdoa agar dipertemukan semula dengan mereka.
“Ternyata Allah mendengar rintihan saya dan saya bersyukur dengan kehadiran mereka. Inilah hadiah Aidilfitri buat saya dan ia menjadikan sambutan hari raya cukup bermakna,” luah Azean dalam nada sebak.
Bukan itu sahaja, Azean sanggup berkunjung ke nurseri tanaman untuk membeli pokok-pokok bunga serta mengupah tukang kebun untuk mencantikkan lagi halaman rumahnya.
Jelas Azean, semuanya itu dilakukan demi menyambut pasangan suami isteri itu serta berkongsi hari istimewa itu bersamanya meskipun seketika sahaja.
Sejarah
Sekadar menyingkap sejarah, Sharul merupakan orang pertama yang mengesan Azean yang ketika itu berkhidmat sebagai kakitangan di Bank Bumiputera dan lantas menawarkannya peluang sebagai gadis pembawa troli yang menjadi tumpuan umum saban minggu menerusi rancangan Bijak Bistari pada tahun 1974.
Manakala, Zainuddin pula merupakan orang yang bertanggungjawab mengetengahkan bakat Azean menerusi drama TV yang disiarkan di RTM menerusi slot Panggung RTM sekitar tahun 1974.
“Saya masih ingat lagi bagaimana peluang beraksi sebagai watak sampingan di samping Latiff Ibrahim bersama Allahyarham Roseyatimah dalam drama Anak Seluang Jatuh Melaut.
“Kemudian, saya terus diberikan peluang oleh abang Din (panggilan untuk Zainuddin oleh Azean) untuk membintangi sebuah drama yang berjudul Tiada Maaf Bagimu dan watak saya bukan sembarangan kerana ia memerlukan saya untuk duduk di kerusi roda sebagai seorang pesakit lumpuh.
“Saya sahut cabaran itu walaupun masih baru. Apatah lagi dapat beraksi di samping hero pujaan saya ketika itu, Datuk Mustapha Maarof menjadikan saya lebih bersemangat untuk berlakon dalam drama berkenaan,” cerita Azean disulami ketawa kecil.
Zainuddin pula mencelah dengan mengatakan Azean tidak pernah mengecewakan dalam setiap lakonannya.
“Dia akan memberikan yang terbaik dalam setiap watak yang akan dilakonkannya. The camera loves her dan disebabkan itu, apa sahaja yang dia lakukan, semuanya akan menjadi.
“Meskipun, sudah lama terputus hubungan, tetapi kami tetap mengikuti perkembangan Azean menerusi akhbar dan ternyata kami turut berbangga dengan apa yang telah dimilikinya hari ini. Cuma, perubahan ketara yang kami dapat lihat adalah perubahan bentuk badannya,” jelas Zainuddin berseloroh sambil disambut dengan hilai ketawa oleh Azean dan Sharul.
Ditanya tentang punca terputus hubungan antara mereka dan Azean, Sharul menjelaskan, semuanya berubah apabila keadaan kesihatan Zainuddin tidak begitu mengizinkan.
“Doktor nasihatkan kami untuk berhijrah ke satu tempat yang mampu memberikan ketenangan dan kedamaian. Kami memutuskan untuk memilih Pulau Langkawi dan menetap di sana hampir empat tahun.
“Bukan tidak pernah cuba untuk menghubungi Azean namun, setiap kali nombor yang diberikan kepada kami, semuanya tidak lagi digunakan. Tetapi, hari ini, kami akan pastikan hubungan kami tidak akan lagi terputus,” jelas Sharul sambil melirik ke arah Azean yang berada di sisinya.
Sepanjang hampir dua jam pertemuan itu, pelbagai kisah yang dikongsi bersama oleh Azean bersama dua orang tetamu istimewanya itu.
Sudah pasti Azean menceritakan tentang kehidupan peribadinya yang merangkumi kejayaan anak-anak perempuannya dalam bidang akademik, perasaannya yang sudah memiliki seorang cucu serta bagaimana kekuatan dan kecekalan keluarganya dalam membantunya menghadapi hari-hari dalam hidupnya.
Bukan itu sahaja, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia dua kali itu juga berkongsi cerita tentang pengalamannya menerima rawatan untuk memerangi penyakit kanser serta perkembangan industri hiburan tanah air dulu dan sekarang.
Meskipun pertemuan begitu singkat dan tidak sempat masing-masing untuk membuka lembaran kisah masa lalu yang memberikan kenangan yang tidak mampu dijual beli, yang pasti, baik Azean, Zainuddin dan Sharul menghargai setiap detik pertemuan mereka itu.
Apa yang diharapkan ikatan ukhwah antara mereka bertiga akan terus berkekalan sehingga ke akhir hayat sebagaimana yang sering dipinta oleh Azean dalam doanya.
No comments:
Post a Comment