Malaikat masuk UMNO pun kena label …
Datuk Pirdaus Ismail,39 sudah melangkah jauh dalam mainstream politik UMNO sejak meninggalkan Masjid Negara pada bulan Mac tahun 2004 untuk bertanding kerusi parlimen Permatang Pauh.
Tidak seperti kebanyakan orang yang tenggelam terus apabila tewas dalam pilihanraya,bekas imam yang popular ini telah muncul sebagai suatu aset UMNO yang berharga.
Ini terbukti bila beliau telah mendapat undi kedua terbanyak dalam pemilihan jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia September lalu.
Setelah bertapak di peringkat nasional pada pertengahan bulan Februari beliau dapat power base di peringkat bahagian pula bila menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian Permatang Pauh.
Ramai para pemerhati politik melihat beliau sebagai ‘peluru’ UMNO untuk berdepan dengan pengaruh bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dikawasan itu yang masih dikuasai oleh isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah menjelang pilihanraya umum akan datang.
Mengulas tentang harapannya jika dipilih semula bertanding semasa interbiu dengan Agendadaily baru-baru ini,Pirdaus hanya berkata Anwar perlu kerja kuat kalau nak pertahankan kawasan itu.
Sebagai imam yang dari kaca mata umum dilihat suci bagai sehelai kain putih,perbualan dengannya juga menyentuh bagaimana beliau menyesuaikan diri dengan politik yang dianggap kotor .
Tidak kurang menarik Pirdaus juga memberi prespektifnya mengapa orang agama takut masuk UMNO.
Berikut ialah transkrip penuh interbiu Agendadaily dengan Datuk Pirdaus Ismail:
AGENDADAILY : Datuk dulu terkenal sebagai seorang imam …kini sebagai Exco Pergerakan Pemuda UMNO dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh …ada Datuk lihat apa-apa perbezaan penerimaan orang terhadap Datuk khususnya sebagai imam?
PIRDAUS : Walaupun saya sudah masuk politik sepenuh masa … sebenarnya bukan saya bertukar karier, pekerjaan juga tidak bertukar, saya masih lagi seorang imam.Apa yang saya lihat orangramai masih lagi menganggap saya seorang imam… Cuma kini saya tidak lagi bertugas di Masjid Negara.Saya masih lagi dijemput untuk menjadi imam di merata-rata tempat.
Aktivti saya sebagai seorang imam masih kekal… saya menerima jemputan untuk berceramah, berdakwah dan sebagainya.
Sekarang ini saya pergi ke merata masjid, kalau dulu saya hanya membaca khutbah di Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan saja… sekarang ini seluruh Malaysia saya boleh pergi membaca khutbah.Contohnya di Permatang Pauh, setiap bulan saya balik membaca khutbah di masjid.
Media pun masih lagi dok panggil saya bekas imam Masjid Negara. Saya sendiri pun tiada niat setelah menyertai politik ini untuk meninggalkan pekerjaan yang telah menjadi sebati dengan jiwa raga saya.
AGENDADAILY: Apakah kelebihan yang Datuk rasa dengan menyertai politik berbanding dengan jadi imam di Masjid Negara dulu?
PIRDAUS: Saya sertai politik ini adalah untuk memperluaskan visi keagamaan, sebab bila kita ada dalam kerajaan dan berpegang pada satu jawatan, sudah tentunya kita ada batasan dan terbatas, kita tidak mempunyai skop yang luas sebagaimana kita berada dalam politik.
Sebagai contoh ketika saya berada di Masjid Negara, saya hanya boleh berkutbah bagi menyampaikan mesej dan itupun ada yang dengar dan ada yang tidak dengar.
Bagi menyampai mesej kepada para pemimpin kerajaan terutama pemimpin UMNO, mereka berada di seluruh negara, mereka tidak berada di Masjid Negara, inilah satu contoh bagaimana baiknya saya berada dalam arena politik… saya boleh bercakap di hadapan seluruh pemimpin-pemimpin negara terutama pemimpin UMNO misalnya di Perhimpunan Agung.
Apa yang saya perkatakan semasa perhimpunan agong adalah misi agama.Saya menyentuh soal hala tuju orang Melayu, soal program tv yang boleh memberi kesan buruk pada elaksanaan Islam Hadhari dan sebagainya.Itu merupakan perjuangan untuk memartabatkan agama…Islam yang saya luaskan lagi melalui platfom politik.
Saya dapat rasakan nikmat ini… pada saya berada dalam politik ini satu nikmat yang tidak pernah saya rasai ketika berada dalam kerajaan dulu.
AGENDADAILY : Pernah tidak dulu Datuk bayangkan suasana berada dalam politik
sebelum menyertai arena ini?
PIRDAUS : Saya sudah dapat rasakan sebelum saya menyertai politik… saya sertai politik pun bukanlah saya terpa masuk saja, saya berjinak-jinak dengan orang politik sudah lama, terutama dengan pergerakan Pemuda UMNO, bukan baru.
Datuk Seri Hishammuddin merupakan jemaah tetap Jumaat saya ketika di Masjid Negara.Dalam Perhimpunan Agung Pemuda setiap tahun mereka jemput saya untuk membaca doa, mengaji quran serta terjemahannya sekali.
Ini maknanya bukan baru saya berkawan dengan orang politik UMNO .Banyak juga program keagamaan penerangan dan motivasi di bahagian-bahagian UMNO saya terlibat.
Cuma saya tidak berada di mainstream saja, tapi saya berperanan membantu sama-sama memperjuangkan perjuangan parti atas kapasiti saya sebagai imam Masjid Negara dan sebagai kakitangan kerajaan… telah lama saya buat.
Khutbah-khutbah saya juga banyak berunsur politik, dulu semasa memberi khutbah di mimbar Masjid Negara, banyak saya masukkan tentang politik terutama tentang perjuangan politik orang Melayu, membela dasar-dasar kerajaan.
Tapi, bukanlah kerana itu saya pula terpilih untuk menjadi calon bertanding pilihan raya… mungkin para pemimpin melihat barangkali kerjasama itu sudah ada atau bakat sudah ada…saya diberi laluan.
Pemimpin akan menilai, mereka tidak akan memberi laluan pada orang yang tidak boleh bekerjasama dan tidak boleh buat kerja, kita lihat contoh laluan yang diberikan pada beberapa tokoh agama seperti Datuk Dr. Mashitah ,Datuk Abdullah Zin, dan beberapa orang agi.Sebenarnya UMNO mengenalpasti dulu latarbelakang dan penglibatan mereka, apa kebaikan mereka berada dalam perjuangan UMNO dan sebagainya.
Jadi maknanya, bila Pak Lah mempelawa saya untuk turut serta dalam perjuangan mainstream UMNO beliau sudah mengikuti perkembangan saya dan apa yang saya telah buat untuk kebaikan orang Melayu serta perjuangan UMNO.
Maka, bila saya berada dalam politik seolah-olah saya menyambung semula visi perjuangan yang sama tetapi diatas platfom yang lebih luas dan mencabar.
Berada atas landasan politik dalam melaksanakan kerja-kerja agama ini, bagi saya ia lebih menyeronokkan, memberangsangkan, luas dan lebih terasa kekuatannya. Kalau dulu, dengan kapasiti sebagai imam Masjid Negara, bukan semua tempat serta jaringan yang kita boleh pergi, tapi sekarang, insyAllah, rata-rata orang menjemput saya untuk bercakap tentang Islam Hadhari.
AGENDADAILY : Ada orang menggangap politik dan agama …ibarat minyak dan air. Bagaimanakah Datuk melihat pada persepsi bahawa politik itu kotor.
PIRDAUS : Pada saya politik adalah landasan sebenar untuk kita menyalurkan dakwah.Pada pandangan saya… yang kotor dalam politik itu adalah orang, perangai orang yang kotor, orang kalau dah kotor tak masuk politik pun dia akan kotor, orang yang mengotorkan politik ini, dia duduk dalam agama pun akan jadi kotor dan dia duduk di mana saja pun ianya akan jadi kotor.
Sebab manusia itu memangnya manusia kotor. Perangai dia dalam politik pun macam tu, luar politik pun macam tu dan pencen politik pun macam itu juga.
Contohnya, sebelum masuk UMNO pun dia memang teruk dan sesudah ada jawatan dan dah tak ada jawatan pun macam tu juga…sebenarnya manusia.Manusia seperti ini dalam mana-mana parti …baik UMNO, PAS, Keadilan, DAP… semua parti politik ada orang seperti ini.
Inilah parasit dan perosak dalam perjuangan-perjuangan parti.Bagi saya paling penting ialah prinsip perjuangan parti perlu kita teliti, apa prinsip perjuangan parti yang terpilih, asas perjuangan parti yang termaktub, kemudian apa yang telah dibuktikan… sebab kalau kita lihat dasar parti semuanya baik-baik belaka.
Dasar parti UMNO yang termaktub baik, yang tertulis atas kertas semuanya baik dan ideal , begitu juga dengan parti PAS, Keadilan dan mana-mana parti pun.
Kalau yang tertulis atas kertas semuanya ideal belaka, semuanya hendak memperjuangankan kepentingan rakyat malah kita lihat Parti Komunis pun perjuangannya hendak membela kepentingan rakyat.
Soalnya sekarang …sejauhmanakah mereka berjaya membuktikan kejayaan mereka memperjuangan kepentingan rakyat, seperti kita di UMNO.
Kita benar-benar berjaya memperjuangkan nasib hidup orang-orang Melayu, agama dan
negara. Setakat ini kita sendiri lihat bahawa UMNO telah berjaya membuktikan kemampuannya.
Parti-parti lain saya tengok hanya termaktub di atas kertas sajalah, dari segi kejayaannya tidak ada maka pada saya, kita menilai sesebuah parti itu dari track record kejayaannya.
AGENDADAILY: Bagaimana Datuk melihat PAS…?
PIRDAUS: Kalau PAS mendakwa mereka memperjuangkan agama.. apa yang telah dibuat untuk agama?
Apa yang saya lihat apabila diberi kuasa untuk memerintah sebuah negeri pun tiada apa pun yang mereka boleh buat, tiada satu perubahan besar yang boleh membanggakan umat Islam, samada pendidikan, ekonomi, pembangunan dan sebagainya, tak nampak pun.
Kita jangan lihat perjuangan agama dari sudut untuk memastikan orang sembahyang, tunai zakat dan pergi menunaikan haji saja atau menukar nama jalan dari tulisan rumi kepada tulisan jawi kemudian menyiarkan suara azan dalam hotel, buat signboard zikir dimerata jalan… apakah Islam sekadar itu saja.
Bagaimana dengan penguasaan ekonomi orang Islam, bagaimana dengan masalah kebersihan, agenda pendidikan, masalah kemiskinan, itu juga merupakan agenda Islam yang dibawa dan diajar oleh baginda Rasullullah s.a.w, perkara ini semua adalah asas ajaran Islam, perkara asas ini telah diperjuangkan oleh UMNO.
Parti UMNO telah berjaya membuktikan kemampuannya membela nasib bangsa Melayu
menjadi kaya raya dalam ekonomi, jadi cerdik pandai dalam pelajaran dan berakhlak mulia menerusi agama Islam.
Jadi, tidak salah saya berada dalam UMNO bagi menyambung perjuangan dan lebih-lebih lagi saya sebagai orang agama.
Dan perlu saya tekankan bahawa agama merupakan objektif utama saya berada dalam UMNO, sebab saya mendapat pendidikan agama, kalau ahli ekonomi pula akan menyatakan objektifnya berada dalam UMNO adalah memperkukuhkan orang Melayu dari segi ekonomi, UMNO telah membuka pintu-pintu kepada pelbagai lapisan profesional, saya nyatakan bahawa politik ini adalah landasan sebenar kalau kita hendak buat kerja-kerja Islam.
Rasullullah s.a.w dalam corak perjuangannya berakhir dengan politik.Nabi bermula dakwah seorang demi seorang, ajar akhlak, jadi guru dalam rumah kemudian dari rumah ke rumah dari tempat ke tempat dan penghujung kehidupan nabi akhirnya dia mati sebagai seorang khalifah, sebagai ahli politik. Beliau meninggal dunia sebagai pemimpin negara.
Beliau mewarisi negara Madinah kepada Syaidina Abu Bakar yang menyambung sebagai pemimpin negara.
Rasullullah meninggal dunia setelah memimpin negara dengan mempunyai barisan kabinet dan jabatan-jabatan begitu juga Syaidina Abu Bakar yang mewariskan kepimpinannya kepada Syaidina Omar juga sebagai pemimpin negara, maknanya perjuangan Islam akhirnya mencapai kesempurnaan dengan kekuasaan politik.Maka itu orang-orang agama, mereka jangan melihat politik ini sebagai sesuatu benda yang negatif.
Pada saya, orang-orang agama yang ada kemampuan, yang ada kapasiti dari segi umur, tenaga dan ilmu persilakan masuk, berada dalam ‘mainstream’ UMNO, ini merupakan satu landasan yang cukup baik di negara ini, inilah yang terbaik setakat ini untuk kita memperjuangkan agama.
Buruk-buruk pun had ni lah yang ada.. yang terbaik, kalau nak bandingkan had yang lainlah…inilah parti manusia bukan parti malaikat…parti manusia ada berbagai permasalahan tetapi setakat ini UMNOlah parti yang terbaik.
Kita perlu ingat perjuangan UMNO, agama berada ditempat nombor satu…agama, bangsa dan negara.
Saya nak ulas soal politik kotor, itulah cabaran, saya menyejukkan hati saya, dan yang menguatkan langkah saya, kenapa saya nak harungi semua ini, saya tak anggap ini dunia politik, saya anggap ini dunia dakwah, pasal politik dan dakwah ini bukan kita kena kerja saja kalau dakwah ini kena cakap dengan orang dan kena pergi jumpa orang maka dalam politik pun kita kena cakap dan kena pergi jumpa orang.
Kalau dakwah ni kena mempengaruhi orang dan mempunyai pengikut, dalam politik macam tu juga, saya bawa diri saya dan saya pegang prinsip saya adalah pendakwah sebab itu saya tidak mahu hilang imej saya, orang panggil saya jadi imam atau baca khutbah, saya pergi.
AGENDADAILY : Persoalannya ialah persepsi orang terhadap Datuk apabila bertukar dari pakai jubah kepada pakai baju pemuda UMNO.
PIRDAUS : Itulah persepsi masyarakat kita, dia melihat pada zahir, dia tidak melihat pada nilai dan makna, masyarakat kita mereka tengok macam tu lah.
Sejak saya berada di dalam politik Pemuda saya kenalah pakai uniform ini. Berubah uniform bukanlah bermakna berubah prinsip, tapi masyarakat kita menilai pakaian itulah prinsip, menilai zahir itulah prinsip… maka inilah yang dieksploitasikan oleh PAS.
Bagaimana seorang bekas penyanyi rock dianggap seperti ulama PAS, disanjung dan
diusung ke merata tempat hanya kerana apa!,.. hanya kerana dia berubah uniform, dia pakai macam ulama… apa ilmu yang dia ada?, dia baca Quran pun lintang pukang tapi dijunjung, diarak sana kemari, beribu-ribu orang mendengar dia bercakap.
Itu bukan kualiti yang boleh diketengahkan sebagai pemimpin kepada satu jemaah Islam, ramai lagi yang lebih alim pada dia, had ni yang nak diketengahkan, tapi orang tak mau, had yang bercerita bab ilmu, tak mau, depa mau orang yang dok mengata orang sana sini.
Berilmu, berhikmah di dalam menyampaikan ilmu, depa tak mau, tak dapat tempat. Kerana masyarakat telah ditanam begitu.
Cuba anda pergi ke Mesir, ulama-ulama besar di sana, Timbalan Syeikhul Azhar tak pakai jubah, dia lebih pakai kot, tak tengok langsung dia pakai serban dan jubah, kerana apa?, kerana dia banyak menghadiri persidangan-persidangan antarabangsa diluar.
Dia banyak menghadapi dengan cabaran-cabaran di luar yang memerlukan dia berpakaian sesuai dengan cabaran, macam saya sekarang saya mengubah imej pakaian saya sesuai dengan cabaran.Tak kan saya nak masuk dengan Pemuda dengan memakai jubah hitam seperti dalam Masjid Negara.
Maka logiknya kalau saya nak jalan dengan Pemuda kena pakai pakaian macam ni. Pakai pakaian macam ni haramnya tang mana? tak kenanya tang mana?
Saya berada dalam UMNO pun prinsip saya tak berubah, buat apa kalau saya pakai jubah pun tapi perangai tak elok.
Saya tidak tinggal jubah terus, setiap hari Jumaat saya pakai untuk sembahyang, cuma dulu itu pakaian saya semasa bekerja, uniform saya kerana pada masa itu jawatan saya, waktu sembahyang kita pakai, waktu pejabat kita pakai, dalam majlis-majlis rasmi pun kita kena pakai, tapi kita dah masuk dalam UMNO kalau kita pakai begitu mahukah orang terima kita dalam UMNO?
Kalau begitu orang agama tak boleh masuk dalam UMNOlah! pasal apa, pasal dalam
UMNO tidak boleh terima orang pakai jubah, betul ke begitu, saya tak nampak pun, jadi yang pentingnya kita tidak melampaulah.
Saya tak tahu tapi rasa saya tidak berubah begitu drastik sangat kot, cuma orang kata imej saja kalau dulu sebagai imam sekarang sebagai politician memanglah imej saya berbeza, kena ubahlah imej tu untuk survival politik, kalau kita tak ubah pendekatan tu macamana kita nak mendekati dan mendakwah pihak lain.
Kalau kita sebagai orang agama tidak mempunyai sikap terbuka maka tak ada tempatlah bagi orang agama untuk meneruskan agenda dakwah dan dalam perjuangan bangsa, golongan muda bukan senang untuk mereka mendengar pandangan kita.
Mereka mungkin ingat parti itu hanya untuk orang agama saja, kita tidak seharusnya seperti itu, cuma kebelakang ini dia terpaksa membuka dasar parti tersebut kepada non-muslim , tapi dah terlewat kerana imej parti telah dibentuk seumpama itu, hanya untuk orang agama, budak-budak aliran agama saja yang berada dalam parti itu, orang balik Mesir, orang mengaji pondok, orang sekolah agama berada dipartinya.
Dia tidak memperjuangkan bangsa Melayu, berapa peratus orang melayu yang terlibat dalam bidang keagamaan, ada dikalangan mereka sendiri tak bertauliah, kalau kita bawa imej parti yang berimejkan keagamaan, kena bawa satu imej yang neutral tetapi agenda perjuangannya juga adalah keagamaan tetapi imej mereka perlu neutral.
Sekarang saya tengok dalam pemuda PAS sudah neutral , Sallehuddin Ayob dah tak pakai serban, kalau dulu, sebagai pemimpin Pemuda PAS, serban tak tinggal. Apakah sekarang orang ada dok mengata bahawa ketua pemuda PAS tak pakai serban, sekarang dah berubah pakai jaket dan vest.
AGENDADAILY : Ada bekas imam di Masjid Negara lebih gemar untuk berjuang dalam parti PAS, mereka tidak menyokong kerajaan, bagaimanakah dengan Datuk yang dilihat tidak sealiran dengan mereka?
PIRDAUS : Anihnya semasa berada dalam kerajaan, mereka memberi sokongan pada
kerajaan.
Saya kenal mereka, orang-orang UMNO panggil untuk membaca doa dimajlis dan pelbagai tempat, mereka pergi juga dan baca doa juga, dulu pun memang tidak sangka depa nak masuk parti PAS kerana semasa kerja dengan kerajaan mereka menunjukkan menyokong kerajaan dan menyokong UMNO.
Tiba-tiba depa lompat masuk PAS… saya pun pelik juga, saya dok tengok depa tu dijemput untuk baca doa dimajlis yang dianjurkan oleh orang UMNO, depa pergi, majlis yang dianjurkan oleh kerajaan, depa hadir juga… tapi tiba-tiba tidak sokong kerajaan...Pelik.
Dalam hal ini siapa yang pelik… saya yang pelik ke atau depa tu yang pelik. Depa tu yang pelik, bukannya saya ni jadi orang pelik, sudah diberi jawatan penting dengan gaji besar, jadi pensyarah dan berbagai jawatan besar serta bercakap elok tentang kerajaan, tak pernah kutuk apa tentang kerajaan… tiba-tiba masuk pembangkang, kemudian tenyeh kerajaan, kata macam-macam.
Bermakna, mereka inilah yang pelik. Saya tidak hipokrit, saya dari dulu menyokong kerajaan dan saya berhenti jadi imam pun saya menyokong kerajaan.
Perkhidmatan saya selama 10 tahun, saya lagi gentlemen kerana berhenti terus tanpa ada pencen sedangkan mereka tunggu pencen dulu baru berhenti kemudian ‘lompat’ jadi pembangkang.
Berapa puluh tahun terlibat dalam kerajaan, hingga dapat pencen, apa permasalahannya, mereka itu menimbulkan tandatanya. Itu soal pilihan mereka.
Mari kita buktikan sejauhmanakah boleh berjaya, sejauhmanakah mereka boleh berjaya dan sejauhmana pula saya boleh berjaya, sejarah akan membuktikan…kalau kita cakap sekarang ini siapa betul dan siapa salah tidak ada gunanya… kita lihatlah nanti apakah yang saya boleh lakukan setelah menyertai UMNO dan apakah yang mereka boleh lakukan setelah menyertai PAS.
Bagi saya, belum lagi sampai setahun saya berada dalam UMNO, sudah berbagai perkara saya bercakap dan saya lakukan, saya bercakap semasa perhimpunan agong UMNO sehingga baru-baru ini, saya telah mengadakan bengkel untuk biro pertanian untuk kepentingan bangsa Melayu.
Mereka sudah menyertai PAS agak lama, apakah yang telah dilakukan. Sekarang bukannya nak bercerita siapa betul atau salah tapi ceritanya sebanyak mana sumbangan telah dilakukan untuk mengubah nasib agama, bangsa dan negara.
Destinasi kita tidak banyak berbeza, semuanya untuk keredhaan Allah, untuk agama, bangsa dan negara tapi lihatlah sekarang hangpa dok tahap mana. Kita lihat kapai yang saya masuk dengan kapai yang depa masuk, dok tahap mana, tak usah lihat pada saya secara individu.
AGENDADAILY : Kenapa para alim ulama yang berada dalam UMNO, PAS dan diluar
parti tidak boleh duduk bersatu, sedangkan mereka ini adalah orang cerdik pandai agama .. dimanakah yang tidak kenanya?
PIRDAUS : Sebenarnya golongan orang agama yang menyokong UMNO ramai, tapi kenapa mereka tidak menonjolkan diri…kerana budaya yang dibawa oleh PAS ialah budaya mengecam, mengkritik, memfitnah, melabel dan sebagainya.
Jadi orang tidak mahu mengambil risiko ini… kalau kita tanya cerdik pandai yang berada dalam universiti atau yang sudah pencen mereka duduk di rumah tanpa ada kerja …bukankah lebih baik berada dalam UMNO dapat membantu… contohnya jadi pemimpin agama UMNO bahagian ke…tapi kebanyakkannya tidak mahu.
Mereka sepatutnya boleh menawarkan diri untuk duduk dalam biro agama dan sekurang-kurangnya boleh menggunakan ilmu dengan mengadakan program tertentu, tapi saya lihat mereka ini tidak mahu, mereka lebih suka duduk rumah dan berulang alik ke masjid saja.
Bukan apa sangat …depa tak suka mulut-mulut capoi dalam PAS akan kata kita…. ular dalam semak, ulama duit, dan macam-macam lagi.
AGENDADAILY: Dalam hal label melabel…sejauh mana Datuk melihat kesannya?
PIRDAUS: Saya nak tanya berapa banyakkah label yang telah UMNO berikan pada ulama-ulama dalam PAS dan berapa banyakkah pula lebel yang telah diberikan oleh pemimpin PAS pada ulama dalam UMNO.
Setahu saya, UMNO tidak pernah melabelkan apapun pada ulama PAS tapi pemimpin PAS melabelkan macam-macam pada ulama, ustaz dan imam-imam dalam UMNO.
Siapa pun orang agama atau ulama yang masuk dalam UMNO akan kena label…malah malaikat pun kalau masuk dalam UMNO akan kena label.
Kalaulah Syeikhul Azhar datang ke Malaysia mengiktiraf perjuangan UMNO, Haji Hadi dan Nik Aziz tak boleh terima… dia nak cari manusia mana! nak cari manusia sehebat mana lagi! Kalau Dr. Mahathir mendapat anugerah dari ulama-ulama dari negara Arab, mereka masih tidak terima lagi.
Saya pernah mengikuti perjuangan PAS, saya bukan baru, saya pun orang agama, saya pun pernah mengaji pondok, tapi sekerat jalan saya tinggalkan PAS.
Bagi saya ini perjuangan bukan untuk agama nak punahkan agama, sebab itulah mereka tidak akan berjaya kalau mereka mempergunakan pendekatan seperti sekarang dengan
memperalatkan agama… sampai bila pun mereka tidak akan berjaya.
Kalau mereka mengamalkan pendekatan kafir mengkafir, mana ada dalam perjuangan
Islam mengkafirkan orang, kalaulah semuanya orang UMNO di Malaysia ini disifatkan sebagai kafir bermakna berjuta-jutalah orang Melayu yang menyertai UMNO ini adalah kafir, maknanya rata-ratanya orang Melayu kafir dan sembelihan mereka tidak boleh dimakan, nikahnya tidak sah… ia menimbulkan keresahan dan kroniknya masyarakat kita.
Kerana label-label dan serangan seumpama ini telah ditujukan sekian lama pada UMNO dan telah jadi ‘register’ dalam kepala masyarakat…itulah kepandaian PAS… itu saya nafikan, PAS berjaya ‘register’ dalam kepala masyarakat bahawa UMNO bukan tempat untuk orang agama. Itu kejayaan PAS, sedangkan asal-usul PAS juga adalah daripada UMNO.
Ramai dikalangan pengasas UMNO terdiri dari golongan ulama, dalam sejarah jelas dimana peranan orang agama adalah penting dalam UMNO kerana agama jugalah asas perjuangan kemerdekaan.
Orang-orang PAS sudah lupa sejarah itu, tapi mereka berjaya ‘doktrin’kan masyarakat Melayu bahawa UMNO bukan tempat untuk orang agama.
Maka tempat orang agama adalah ‘ahlan wa sahlan’ dalam PAS, jalan ke syurga…
UMNO itu kotor…itulah kejayaan PAS.
Saya berani kata PAS tidak akan berjaya sampai bila-bila… Bagi PAS mereka apa saja perkara tak elok yang menimpa mereka adalah ujian tapi bila sesuatu yang kena pada UMNO ianya ditafsirkan sebagai bala dan malapetaka.
Mereka mengambil ‘tangan Tuhan’ untuk menghukum orang lain.
AGENDADAILY : Bagaimana dengan dakwaan sesetengah pihak bahawa UMNO
hanya hendak ‘memperkudakan’ Datuk sebagai imam Masjid Negara, atau lebih tepat lagi hendak menumpang populariti Datuk dan menunjukkan orang agama sokong UMNO. Apakah Datuk merasakan demikian?
PIRDAUS : Itu persepsi orang, tapi saya masuk UMNO dengan visi saya yang tersendiri. Visi saya adalah untuk perjuangan agama. Persepsi orang dan sebagainya itu biarlah masa menentukannya.
Tak betul…kata saya diberi peluang masuk UMNO semata-mata hendak bagi nampak adanya orang agama…
Saya nak bertanya kenapa adanya tanggapan seperti itu… kerana mereka nampak politik UMNO ini adalah politik kotor dan kononnya politik PAS itu adalah politik syurga, politik Keadilan orang kata politik suci.
Pasal apa orang bercakap pasal politik kotor itu hanya pada UMNO, kenapa tidak nampak politik dalam PAS atau Keadilan dan lain-lain pun kotor…
Pada saya pemain-pemain politik itu kotor, pemain-pemain politik yang dulu dalam PAS
masuk Keadilan pun kotor, dulu berada dalam Keadilan masuk PAS pun kotor,begitu juga yang dulu dalam UMNO kemudian masuk PAS dan Keadilan lagi kotor, perangai mereka tetap seperti dulu jadi ‘pengotor’ dalam parti.
Inilah masalah manusia, dalam rumahtangga pun macam itu juga. Kalau kita tanya kawan-kawan tentang perangai ‘dia’ tu, kawan-kawan akan beritahu kita bahawa perangai ‘dia’ tu macam itu juga, kalau bekerja di pejabat pun macam itu juga… ini masalah manusia. Maka kita sekarang bukan kita perjuangkan orang, kita perjuangkan halatuju parti, orang akan datang dan pergi.
Kalau kita perjuangkan orang, kalau orang itu keluar maka kita semua pakat keluarlah…
jadilah Anwar Ibrahim, pakat keluar UMNO, lepas itu boleh buat apa!
Kalau kita perjuang halatuju parti, kalau kita miskin papa kedana pun kita akan fikirkan bahawa parti inilah nama baik aku…kita tidak akan sanggup derhaka pada parti…
Apakah kerana orang tak bayar pencen kita atau kita ada buat masalah, minta sesuatu tak dapat maka kita nak lompat parti… parti cerita parti…parti tidak berperasaan, kalau kita tidak mahu menyertai parti UMNO janganlah ianya menerima hukuman. Kerana masalah kebajikan kita, parti yang menerima hukuman, adakah itu wajar!
Sepertilah kita masuk agama Islam, kita jadi miskin…lepas tu nak keluar agama, yang dapat keburukan agama… kita tidak boleh macam itu.
Persepsi itu kita kena ubah, sebenarnya kejayaan UMNO ini memartabatkan agama Islam telah diakui oleh mereka sendiri, mereka sendiri akui samada dari aspek ekonomi, pendidikan, pembangunan, hukum hakam, kebajikan dan sebagainya. Mereka akui kebaikan UMNO ini.
Tapi kerana keegoan kepada kepartian dan sebagainya maka ia tidak timbul. Islam Hadhari yang diilham oleh Pak Lah…mereka pandang sepi dan tak sokong. Kita boleh lihat dan dengar sendiri, Pak Lah adalah Perdana Menteri yang banyak bercakap tentang Islam dan perjuangan Islam, Pak Lah berani, lantang dan berterus terang bercakap tentang perjuangan Islam. Sepatutnya mereka yang kononnya ikhlas dalam perjuangan Islam itu kena sambut.
Kena akui, sekurang-kurangnya Nik Aziz kena kata…saya sokong Islam Hadhari walau bagaimanapun kami nak tengok Pak Lah membuktikan…sekurang-kurangnya macam itu, masyarakat akan mendengar dan menilai.
Sebaliknya kata ini agama baru, ini mazhab baru… mereka peningkan lagi masyarakat, berpuluh perkara yang digariskan dan dibentangkan oleh Pak Lah adalah ramuan resepi-resepi kejayaan tamadun Islam masa lalu.
Pak Lah bawa semula di era kita untuk digunakan sebagai acuan bagi kita membina tamadun kita sendiri.
AGENDADAILY : Persoalannya…mesej itu tak sampai mungkin cara penyampaian tak berkesan… dalam kelompok yang kecil mungkin boleh diterangkan tapi untuk menjelaskan kepada rakyat seluruh negara…ianya akan berakhir ditengah jalan?
PIRDAUS : Sebenarnya tidaklah begitu, penyampaiannya adalah selari, ia bukan satu agama baru…tidak mengubah ajaran asal, tidak ada perubahan pun dari segi rukun Islam yang lima itu akan jadi enam, rukun iman jadi lapan… ianya tiada apa-apa perubahan.
Bila Haji Hadi kata, ini agama baru dan mazhab baru… dia tahukah agama itu apa pilihan dan komponen-komponen untuk menjadi itu agama…Islam Hadhari ini adakah sama komponennya dari segi agama… Islam Hadhari ini adalah pemikiran, pendekatan atau metadologi untuk kita hendak memajukan agama kita, memajukan orang Islam… agama Islam adalah satu cara hidup yang besar.
Masyarakat kita mudah terkeliru… kalau Haji Hadi kata, itu Islam Hadhari ajaran baru… kerana dia tu Haji Hadi, pakai serban jubah, maka orang pun percaya. Ataupun orang akan berkata,..takkanlah tergamak kot Haji Hadi tu, orang alim nak menipu orang…
Dan orangramai yang tak tahu hujung pangkal akan berkata… takkanlah orang macam Nik Aziz, orang punya alim, warak..takkan nak tipu orang. Mereka juga tidak kta mereka menipu orangramai tetapi mereka tidak lepas dari kesilapan,kealpaan dan kelalaian.
Saya tak kata Nik Aziz tu hari-hari niat nak tipu orang..tidak, dia orang baik, dia takkan tipu orang tetapi dia ada kelemahan yang besar dari segi kelalaian, kealpaan dan kesilapan yang menyebabkan partinya jadi seperti itu.
Begitu juga Haji Hadi, saya tak kata dia nak menipu orang tapi dia kelemahan yang besar dari segi keegoan tak mahu nak dengar pandangan orang, mementingkan dirinya sendiri dengan mengikut pandangannya sahaja.
Kita tidak kat dia korup atau makan rasuah…oklah, dia mempunyai peribadi yang baik tetapi dia ada kelemahan yang besar untuk membolehkan dia memimpin umat Islam.
Sekiranya kita kaji, depa tu muka syurga, takkanlah nak buat perkara tak baik… memanglah muka syurga tapi depa tu bukannya malaikat.
Perlu diingatkan bahawa orang yang kita anggap alim, pakai serban, jubah pun boleh melakukan kesilapan-kesilapan besar yang boleh memudaratkan masyarakat Islam.
Kita perlu menceritakan kesilapan, kelalaian, kelemahan dan keegoan dirinya yang tidak melayakkannya memimpin sebuah negara bagi membawa halatuju umat.
Ini semua telah terbukti, apa kesilapan Haji Hadi sehingga negeri Terengganu jadi seperti itu… kita boleh bentang apa pula kesilapan Nik Aziz sehingga Kelantan jadi seperti sekarang… apakah selesai masalah sosial di Kelantan, ia makin teruk, kita melihat Islam adalah agama bersih, berapa bersihkah Kota Bharu… sepanjang tepi jalan tertulis Subhanallah tapi sampah bersepah.
MPKB itu sendiri bagaimanakah pengurusannya, macamanakah dia mengurus atau khalif atau khalifah…bukannya kita nak cerita atau tanya berapa kalikah anda sembahyang.
Apakah cara seperti ini untuk kita berdepan dengan Yahudi.
Ini adalah soal hendak mentadbir berjuta umat, jangan buat silap, kita sedar kesilapan, keegoan dia kerana hendak mempertahankan beberapa orang penceramah-penceramah PAS yang suka maki hamun maka Nik Aziz pun kata Allah pun maki hamun…
Saya dari kecil masuk sekolah pondok belajar sehingga masuk Universiti Al Azhar…saya tidak pernah dengar dari mulut tok guru saya kata Allah itu juga memaki hamun.
Begitu juga Nik Aziz hendak mempertahankan anak-anak buahnya yang berperangai
samseng maka dikatakan Allah pun samseng…mana boleh!
Depa kata kita yang dok dalam UMNO ada kepentingan…kepentingan apa yang kita pada, ahli majlis fatwa, mufti-mufti gaji berapa duit sangat…contohnya Datuk Ismail Ibrahim sebagai pengerusi Majlis Fatwa yang sudah pencen tu apa ada…
Pada saya itulah orang-orang yang ikhlas, perkara tak betul dia akan kata tak betul dengan membuat teguran melalui saluran manakala yang betul dia akan akui betul.
Apakah orang agama yang dok sokong kerajaan telah jadi jutawan, Tan Sri Dr. Yusof Nor hanya jadi Pengerusi Felda saja, berapa duit sangat gajinya. Datuk Hamid Zainal Abidin merupakan orang agama.. hanya sebagai Pengerusi MARA.. apa kepentingannya.
Ada orang yang menfitnah saya kononnya kerajaan bagi RM20 juta untuk sertai UMNO… saya ni siapa untuk orang habiskan duit sebanyak itu bagi kat saya… mereka tak boleh bacakah keikhlasan orang.
Ada juga orang kata saya ‘imam komisyen’.Dulu masa jadi imam Masjid Negara depa tuduh saya dapat komisyen bagi kerja-kerja maintainance masjid…sedangkan urusan nak bagi tender itu bukan bidang kuasa saya… hal itu dibawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
AGENDADAILY : Bagaimana Datuk melihat penentangan DAP terhadap rancangan PAS hendak menubuhkan Negara Islam?
PIRDAUS : Dulu ada orang kata dalam Malaysia ni tidak ada oranglah yang paling bijak
melainkan Haji Hadi dan Nik Aziz kerana telah berjaya membawa Karpal Singh, Lim Kit
Siang dan beberapa lagi chauvinis Cina dalam pakatan pembangkang… sehingga berpeluk-peluklah Haji Hadi dengan Karpal Singh.
Sebaliknya Karpal Singh kata kalau PAS nak tubuh negara Islam… langkah mayat dia
dulu.Kalaulah zaman Rasulullah, sudah macam itu, berpeluk-peluk…InsyAllah
akan Islam Karpal Singh tu.
Tapi akhirnya juga kita lihat DAP menentang penubuhan negara Islam kerana salah persepsi yang diberikan oleh kepada PAS kepada DAP.
Sebenarnya PAS telah mengajar DAP bagaimana untuk mencabar Islam.Bayangkan Lim Kit Siang kata ini bukan negara Islam… kalau semasa 13 Mei sudah tentu bertumpah darah…kemudian Datuk Hishammudin buat kenyataan amaran jangan bermain api…baru depa diam
Manakah kebijaksanaan mereka, kalau saya dalam PAS pun… saya akan buang masa saja.
Saya melihat dalam UMNO, ramai dikalangan Pemuda mahukan orang agama.Malah kemenangan saya sebagai Exco Pemuda dengan undi kedua terbanyak telah
memberi gambaran tersebut.
AGENDADAILY : Sebagai orang agama ada yang merasa pelik melihat Datuk dilantik sebagai Pengerusi Biro Pertanian Pemuda UMNO Malaysia…apakah Datuk rasa boleh memikul tangongjawab itu yang nampak seperti menyimpang dari kepakaran Datuk?
PIRDAUS : Perlu saya jelaskan di sini bahawa salah seorang exco Pemuda ,Ustaz Shamsul Najmi telah lama memimpin Biro Agama dan mempunyai jaringannya sendiri. Saya sebagai orang baru dalam exco dan sebagai orang agama perlu melihat jauh dengan memperluaskan tanggungjawabnya dengan menduduki biro-biro lain.
Biro lain pun kerja agama juga, biro dadah, ekonomi, pendidikan, pertanian dan lain-lain adalah kerja agama juga….Nabi sendiri pun jadi petani, sahabat Rasulullah pun ramai yang jadi usahawan tani… pada saya tidak salah berada di biro pertanian dan ia adalah pilihan saya.
Biro ini adalah bidang tuntutan agama untuk kita maju, saya juga melihat agenda pertanian adalah agenda besar Pak Lah.
Beliau sebagai orang agama meletakkan pertanian sebagai agenda besar dalam UMNO kerana disektor pertanian banyak melibatkan orang Melayu dan luar bandar yang masih berada ditahap kemiskinan.
Jadi, kita memperkasakan sektor pertanian, bermakna kita memperkasakan orang Melayu, kita mendekatkan jurang ekonomi diantara luar bandar dan dalam bandar, orang Melayu akan mendapat keuntungan.
Apakah ini bukan tugas murni, ia juga membuka ruang untuk kita mendekati grassroot , ianya tugas yang mulia dan boleh dijadikan satu platfom yang cukup baik bagi saya mendekati orang Melayu untuk berdakwah bagi meningkatkan ekonomi mereka.
Melalui biro ini saya boleh turun sampai ke bawah mendekati rakyat, saya melihat jaringan yang cukup luas, melalui biro ini saya boleh pergi ke mana ceruk pun. Kita boleh buat berbagai program, saya melihat ramai pemuda yang berminat dengan bidang pertanian.
Dalam keadaan sekarang dimana kerajaan sedang berusaha untuk memperhebatkan
pertanian, memperbesarkan agensi pertanian disamping gesaan Menteri Pertanian
agar pemuda-pemuda mengubah persepsi bahawa pertanian itu bukanlah satu bidang
yang sudah tidak ada harapan.
Bagi kita, bidang pertanian ini adalah satu bidang yang mencabar dan mempunyai peluang besar, ianya mencabar kerana telah banyak kita tinggal kerana memberi tumpuan pada sektor lain. Agenda Pak Lah ini, walaupun mempunyai cabaran dan ujian yang besar tetapi ada peluang-peluang yang besar perlu diterokai.
Seperkara lagi, pewaris-pewaris pertanian sekarang sudah tidak ada, yang ada pun sudah berumur dan tua, sedangkan kerajaan banyak menyediakan kursus usahawan, ianya terpaksa diberikan pada golongan yang sudah hampir pencen tapi pada orang-orang muda tidak ditawarkan.
Kita sedang berusaha untuk mengubah persepsi ini bahawa tawaran kursus-kursus usahawan tani ini bukan hanya diberikan pada orang-orang dah nak pencen malah ditawarkan juga pada pelajar universiti. Kita akan memberi pendedahan awal pada pelajar-pelajar univerisiti tentang cara untuk mengusaha tanah bendang, ladang dan sebagainya.
Banyak kemudahan asas disediakan oleh kerajaan untuk membantu usahawan tani, saya merasakan apa salahnya saya berada di biro ini, ia bukan dijalankan saya seorang, ianya dibantu oleh rakan-rakan, saya boleh lantik golongan profesional, ahli korporat, wakil-wakil agensi pertanian .
AGENDADAILY : Selepas jawatan Exco Pemuda…Datuk melangkah setapak lagi dalam UMNO dengan menang tanpa bertanding kerusi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh.Semua orang tahu suasana pemilihan baru-baru ini agak panas.Bagaimana Datuk melihat kejayaan terbaru ini?
PIRDAUS : Itulah kuasa Tuhan, melihatkan pada latarbelakang saya, orang yang berjuang 30 tahun belum tentu boleh dapat pencalonan. Kalau Tuhan tidak aturkan untuk kita… tidak akan ke mana.
Orang macam saya ni nak lawan timbalan ketua bahagian, saya rasa pencalonan pun tak boleh dapat, apatah lagi di bahagian Permatang Pauh.
Bezanya dengan pencabar saya hanya 4 pencalonan saja… bukan kerana saya tapi
orang bawah yang angkat saya.
AGENDADAILY : Permatang Pauh dilihat sebagai kubu Datuk Seri Anwar Ibrahim.Datuk tewas tipis lawan Datuk Seri Dr Wan Azizah dalam pilihanraya umum lalu.Kini Datuk Seri Anwar sudah bebas…apakah Datuk merasa ada peluang untuk tawan kerusi parlimen Permatang Pauh pada pilihanraya akan datang?
PIRDAUS : Saya rasa dalam pilihan raya akan datang Datuk Seri Anwar perlu buat kerja kuat sikit… bukan mudahlah.Pada pilihan raya lepas, saya masuk dalam keadaan saya tak sempat buat kerja disamping kurang networking… tetapi kali ini beliau kena buat kerja kuat sikit kalau nak teruskan ‘survival’ politiknya di Permatang Pauh ataupun beliau kena fikirkan alternatif lain.
www.agendadaily.com
No comments:
Post a Comment