07 September 2008

Detik menjelang 16 September | Anwar pasti akan berjaya

Anwar gagal dapat bilangan anggota Parlimen BN lompat

JAKARTA 6 Sept. - Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang hari ini membawa impiannya untuk menubuhkan kerajaan baru di Malaysia pada 16 September kepada media massa di Indonesia, masih gagal menyatakan siapa atau beberapa orang anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) akan menyeberang ke pihaknya."Saya hanya akan menamakan mereka pada masa yang sesuai. Ini adalah persefahaman...perjanjian dengan teman-teman (para anggota Parlimen itu)," katanya.

Walaupun ketika berkali-kali ditanya oleh media massa tempatan dan asing yang meliputi pertemuannya dengan Ikatan Cendikawan Muslim Indonesia (ICMI) di sini hari ini, beliau enggan menyatakan siapa atau berapa bilangan anggota Parlimen BN yang sudah mengesahkan menyeberang ke pihaknya.

Anwar menjelaskan bahawa harapan beliau berjumpa dengan ICMI adalah kerana menganggap pertubuhan Islam di Indonesia penting baginya, seperti juga di Malaysia.

Anwar, yang tetap yakin bahawa impiannya akan menjadi kenyataan pada 16 September, mendakwa beliau tidak menghadapi sebarang masalah lagi untuk mencapai tujuan itu.

Sambil menegaskan bahawa media massa di Malaysia tidak bebas dan hanya melaporkan berita dari sudut pandangan kerajaan BN, Anwar berkata beliau dapat memberikan kepastian kepada media massa Indonesia dan asing bahawa 'penghijrahan wakil-wakil rakyat BN' akan terjadi 16 September ini walaupun di Malaysia dilapor tidak akan berlaku.

Mengulas lawatan yang dirancang untuk anggota-anggota Parlimen BN ke luar negara sehingga 16 September, beliau berkata, "Saya akan tangani hal ini bila pulang ke Kuala Lumpur petang ini".

Beliau masih mendakwa mendapat maklum balas positif daripada anggota-anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak malahan juga dari Semenanjung Malaysia.

- Bernama

No comments:

Post a Comment