20 September 2008

Undang-undang tidak larang lompat parti | Laporan polis dibuat lantaran jahil undang-undang

Laporan polis terhadap Anwar

PULAU PINANG 19 Sept. – Sekumpulan 25 orang yang menggelar diri mereka sebagai ‘Rakyat prihatin yang cintakan keamanan’ telah membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tindakannya yang ingin memerintah negara dengan menarik Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) melalui kaedah melompat parti.

Kumpulan yang diketuai Wan Abidin Zain, 45, itu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini kira-kira pukul 2.45 petang ini.

Menurut Wan Abidin, pihaknya membuat laporan polis kerana tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menguar-uarkan akan berlaku peralihan kuasa pada 16 September lalu yang menyebabkan keresahan dan ketakutan di kalangan rakyat.

Kebimbangan itu, katanya, dirasai masyarakat terutama golongan ibu bapa sehinggakan ada antara mereka berasa takut untuk menghantar anak-anak ke sekolah pada hari tersebut.

‘‘Tindakan Anwar itu salah kerana ia boleh memecah-belahkan rakyat berbilang kaum sekali gus menyebabkan ketidakstabilan kepada negara ini.

‘‘Berikutan itu, kami telah membuat laporan polis kerana tidak mahu perubahan kuasa secara dayus dilakukan oleh Ketua Pembangkang itu di bawah Akta Hasutan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di sini.

Tambahnya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sepatutnya akur dengan majoriti rakyat Malaysia yang telah memilih BN untuk memerintah negara pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.

‘‘Cara yang digunakan oleh Anwar tidak boleh diterima langsung di negara yang mengamalkan demokrasi sejak dahulu lagi.

‘‘Justeru, kami menyeru kepada semua pihak supaya bangkit untuk menentang peralihan kuasa secara lompat parti,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abd. Hamid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment