Kuasa polis bebaskan Teresa
PUTRAJAYA 19 Sept. – Pembebasan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini merupakan bidang kuasa yang diberi kepada polis tanpa memerlukan kelulusan menteri.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, beliau tidak campur tangan dalam urusan pembebasan itu dan hanya dimaklumkan mengenainya selepas Teresa dibebaskan.
‘‘Setelah menjalankan siasatan, polis ada kuasa (untuk membebaskan Teresa), mereka tidak perlu membuat perakuan kepada menteri.
‘‘Ini merupakan perkara normal dan polis tak perlu maklumkan kepada saya atau mendapatkan kelulusan saya, ini boleh berlaku sehingga 60 hari,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 289 kakitangan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Teresa yang ditahan di bawah ISA pada 12 September lalu dibebaskan tengah hari ini.
Penahanan Teresa dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan bahawa beliau mengeluarkan arahan melarang azan dilaungkan menggunakan pembesar suara.
Syed Hamid berkata, sebagai menteri, selepas 60 hari, beliau bagaimanapun berhak untuk melanjutkan tahanan seseorang yang disyaki mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam selama dua tahun.
‘‘Dalam kes ISA, jika polis mengesyaki seseorang mungkin mengancam keselamatan dan ketenteraman awam, mereka boleh menahan orang itu sehingga 60 hari.
‘‘Jika tahanan lanjut diperlukan, mereka perlu cadangkan kepada menteri. Menteri ada kuasa untuk meluluskan atau menolak cadangan itu,” katanya.
Ditanya kemungkinan bekas Menteri Basar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo disiasat berhubung dakwaannya bahawa Teresa mengeluarkan arahan untuk melarang azan dilaungkan menggunakan pembesar suara, Syed Hamid berkata, perkara itu hanya boleh ditentukan oleh polis.
Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, Malaysia tidak perlu bertanggungjawab kepada negara lain dalam apa-apa tindakan yang diambilnya.
‘‘Malaysia bertanggungjawab kepada Malaysia, setiap negara bertanggungjawab kepada negara sendiri.
‘‘Kita mempunyai hubungan baik dengan Amerika Syarikat tetapi ini tidak bermakna kita perlu mendapat kelulusannya tentang apa yang kita lakukan,” ujar beliau.
Amerika Syarikat sebelum ini mengkritik Malaysia kerana menggunakan ISA untuk menahan pemimpin parti pembangkang.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment