14 September 2008

Ulat ghaib sementara sahaja dan akan muncul bila penguatkuasa tidur

Mereka tiba-tiba 'ghaib' di Puduraya

KUALA LUMPUR - Sebelum ini, kunjungan ke Hentian Puduraya boleh dianggap 'tidak sah' jika tidak disapa sekurang-kurangnya seorang atau dua 'ulat' yang menawarkan tiket ke pelbagai destinasi dengan janji 'bas berlepas sekarang'.

Bagaikan satu pemandangan biasa untuk menyaksikan pelbagai gelagat 'ulat' di hentian berkenaan yang sebelum ini mundar-mandir dengan walkie talkie sambil menjerit destinasi yang ditawarkan mereka.

Bagaimanapun senario di hentian itu berbeza semalam, apabila tiada langsung kelibat 'ulat-ulat' yang berkeliaran menjual tiket seperti lazimnya sama ada di kawasan luar atau berdekatan kaunter.

Tinjauan Kosmo! Ahad di hentian itu semalam mendapati, senario itu telah menimbulkan suasana pelik di kalangan orang ramai kerana tidak melihat seorang pun kelibat 'ulat' beroperasi.

Paling mengejutkan, tinjauan di dalam hentian Puduraya pula mendapati, semua operasi jualan tiket bas ekspres hanya dilakukan di kaunter sahaja tanpa diganggu 'ulat' yang memujuk orang ramai untuk membeli tiket mereka.

Difahamkan keadaan sedemikian berlaku ekoran operasi besar-besaran yang dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama dua hari bermula kelmarin sehingga menyebabkan ulat-ulat tersebut 'ketakutan.'

Malah, sepanjang tinjauan itu juga mendapati, beberapa pihak berkuasa dipercayai anggota JPJ yang berpakaian biasa berlegar-legar di sekitar hentian itu.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan pada 6 September lalu berkata, pihaknya telah menggerakkan seramai 2,500 anggota penguat kuasa ke seluruh negara memerangi 'ulat' tiket secara habis-habisan.

www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment