23 September 2008

Sufiah rindu keluarga

KUALA LUMPUR: Sambutan Aidilfitri tahun ini mungkin paling bererti bagi Halimaton Yusof, ibu wanita genius matematik, Sufiah Yusof, yang membayangkan hasratnya menyambut kedatangan hari mulia bersama keluarga selepas beberapa tahun tidak bersua muka.

Malah, Sufiah turut melahirkan perasaan rindu bertemu ibu serta adik beradiknya, selain sering terkenang kemeriahan menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Perkara ini didedahkan Pengarah Perancangan dan Strategi Kumpulan Penyokong dan Pengasuh Profesional Islam (Pisang), Hanafi Abdul Malek, ketika dihubungi, semalam.

Hanafi berkata, bekas pelajar Universiti Oxford itu kini lebih tenang dan mudah diajak berbincang sekali gus membayangkan kemungkinan bersedia menerima rawatan menggunakan kaedah Islam seperti ditawarkan Pisang.

“Kali terakhir kami berhubung dengannya (Sufiah) melalui e-mel kira-kira seminggu lalu dan dia kata amat rindu menyambut Aidilfitri bersama keluarga terutama ibunya seperti dulu.

“Sufiah juga ada menyatakan yang dia bersedia bertemu ahli keluarganya dan kami jangkakan usaha merawatnya akan jadi lebih mudah jika betul-betul berhari raya bersama keluarga,” katanya.

Muka depan Harian Metro pada 6 Ogos lalu melaporkan mengenai kesudian wanita pintar itu menerima pelawaan Pisang menjalani rawatan mengikut kaedah Islam untuk kembali ke pangkal jalan, sekitar Oktober depan.

Sufiah bersetuju menemui wakil Pisang bagi mengikuti sesi kaunseling dan rawatan selepas Aidilfitri ini, membuka laluan membantu wanita itu yang kini menjadi pelacur kelas atasan di kota London.

Malah, Sufiah dikatakan terharu dan gembira apabila Pisang serta Kesatuan Melayu United Kingdom sudi membantunya selain sentiasa memahami situasi yang ditempuhinya.

Hanafi bagaimanapun berkata, keberangkatannya ke London yang dijadualkan awal bulan depan bagi merawat Sufiah terpaksa ditunda ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

“Ini kerana, Presiden Persatuan Melayu United Kingdom (Melayu UK), Hamidi Abdul Rahman, akan kembali ke Malaysia berhari raya bersama keluarganya di sini dan mungkin kami akan bertolak ke London bersama-sama awal November nanti.

“Selain itu, sumbangan untuk tabung Sayangi Sufiah masih belum mencukupi dan kami berharap orang ramai dapat menderma bagi meneruskan usaha murni ini,” katanya.

www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment