Suhakam Minta Penjelasan KDN Berhubung Penahanan Rakyat Malaysia Yang Disangka Pendatang
KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meminta Kementerian Dalam Negeri menjalankan siasatan berhubung kes penahanan seorang wanita rakyat Malaysia selama 11 bulan di Depot Imigresen Lenggeng selepas wanita itu gagal menunjukkan kad pengenalan atau mengingati nombor kad pengenenalannya itu.
Pesuruhjayanya Datuk N.Siva Subramaniam berkata Suhakam mahukan penjelasan daripada kementerian berkenaan dan juga Jabatan Imigresen terhadap tindakan itu.
"Tidak tahulah berapa ramai ramai rakyat Malaysia yang gagal menunjukkan kad pengenalan dan tidak fasih dalam Bahasa Malaysia yang sedang ditahan di depot (Imigresen) ketika ini.
"Ini jelas menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem penahanan dan Suhakam akan mengadakan mesyuarat segera bagi mengkaji kes ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sebuah akhbar tempatan hari ini menyiarkan laporan mengenai seorang wanita, M. Rajeshvari, 22, yang ditahan oleh polis dalam serbuan di Brickfields semasa beliau sedang menunggu seorang anggota keluarganya di sebuah kedai kopi, kira-kira 11 bulan lalu.
Rajeshvari yang ketika itu sedang mengandung enam bulan dan kehilangan kad pengenalan, tidak dapat mengingati nombor kad itu, menyebabkan beliau ditahan polis kerana disyaki pendatang Sri Lanka apabila tidak fasih Bahasa Malaysia selain tidak dapat memberikan butiran terperinci mengenai latar belakangnya.
Beliau kemudiannya dihadapkan ke mahkamah dan dihantar ke depot tahanan di Lenggeng, Negeri Sembilan pada Oktober tahun lepas, dan dibebaskan Jumaat lalu selepas mendapat bantuan Majlis Belia India Malaysia.
Siva Subramaniam berkata suruhanjaya itu akan melawat depot Imigresen di Lenggeng bagi mengumpulkan maklumat penting berhubung perkara itu dan akan mendapatkan bantuan undang-undang buat Rajeshvari.
"Kami ingin tahu sekiranya ada laporan mengenai orang hilang dibuat oleh anggota keluarga wanita itu selepas beliau ditahan, dan sekiranya Jabatan Imigresen mengambil langkah tertentu seperti menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara bagi memeriksa latar belakang wanita itu," katanya.
Sementara itu pengarah penguatkuasa imigresen Datuk Ishak Mohamad ketika dihubungi berkata beliau akan menyiasat perkara itu dan akan menemui pegawai-pegawainya bagi mendapatkan penjelasan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment