07 September 2008

Parti Umno bakal menghadapi keruntuhan | Kerajaan yang mengamalkan rasuah dan tidak berlandaskan islam akan runtuh - Mufti Sabah

Tubuh kerajaan secara haram tidak bertahan lama

KOTA KINABALU 6 Sept. - Mufti Sabah, Datuk Ahmad Alwi Adnan berkata, sebuah kerajaan yang ditubuhkan secara haram tidak akan mendapat berkat dan bertahan lama.

Menurut beliau, kerajaan tersebut akan runtuh pada bila-bila masa kerana dibina dengan tidak berlandaskan amalan dan kehendak Islam yang sebenar, lebih-lebih lagi jika melibatkan unsur-unsur rasuah.

"Secara umumnya, jika asas sesuatu perkara itu sudah salah, kita pasti tahu kesudahannya, iaitu tiada keberkatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendakwah Negeri Sabah Kali ke-3 di Kompleks Tabung Haji di sini malam tadi.

Beliau mengulas mengenai isu lompat parti Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang didakwa akan berpaling tadah menyokong pakatan pembangkang yang diterajui oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 16 September ini.

Ahmad Alwi yang enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut berkata, jika isu politik tersebut mempunyai unsur rasuah, ia jelas adalah haram dan matlamat tidak boleh menghalalkan cara walau sebaik mana pun tujuannya.

"Rasuah adalah satu perkara yang ditegah, orang yang beri dan terima rasuah, kedua-duanya akan dilemparkan ke dalam neraka," ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai kurangnya usaha pemilik restoran bukan Islam di Sabah yang dikunjungi umat Islam untuk mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) cawangan Sabah, beliau berkata, sepatutnya mereka menghormati sensitiviti umat Islam.

Beliau turut menegur segelintir umat Islam di Sabah yang mengambil minuman keras atas alasan tabiat tersebut merupakan budaya masyarakat majmuk di negeri ini.

"Pemikiran dan budaya seperti ini ditegah oleh Islam walau dengan alasan apa sekali pun kerana perbuatan itu membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan, jelas Islam tidak bertolak ansur dengan perkara ini," ujarnya.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment