10 September 2008

Semoga roh mangsa rompakan itu ditempatkan di kalangan orang-orang soleh | Polis cekap menjalankan tugas

3 mati tragedi samun waktu sahur di Shah Alam

SHAH ALAM 9 Sept. – Belum pun hilang kesedihan dan trauma kehilangan isteri tersayang dibunuh penyamun dalam tragedi ngeri di rumahnya di sini pagi ini, seorang ahli perniagaan dikejutkan pula dengan berita ibunya meninggal dunia.

Dalam kejadian di D’Kayangan, Seksyen 13 di sini pukul 4.45 pagi ini, Mohd. Yusof Abdul, 66, seorang bekas pegawai polis, menerima dugaan besar apabila isterinya, Raja Noriana Raja Ahmad, 41, dijadikan tebusan oleh sekumpulan penyamun warga Indonesia yang memecah masuk rumah mereka.

Peristiwa yang berlaku ketika beliau dan isteri serta dua anak tirinya bangun untuk bersahur itu, berakhir dengan kematian isterinya yang ditikam di leher, belakang dan dikelar di rusuk kiri oleh dua daripada empat perompak terbabit.

Dua daripada penjenayah yang menjadikan Raja Noriana sebagai tebusan mati ditembak oleh polis yang tiba di tempat kejadian. Polis turut menahan dua penjenayah lain di dalam rumah itu.

Isteri Mohd. Yusof dikejarkan ke Pusat Perubatan Selangor di sini tetapi meninggal dunia di hospital itu sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk dibedah siasat.

Bagaimanapun, malang lain menimpa Mohd. Yusof apabila dua jam kemudian beliau mendapat berita ibunya, Zabedah Jidin, 86, pula meninggal dunia di Alor Gajah, Melaka.

Dalam tragedi samun dan bunuh itu, Mohd. Yusof dan Raja Noriana berada di ruang keluarga di tingkat atas rumah apabila isterinya menjerit ternampak kelibat empat penjenayah memasuki kediaman mereka.

Pada masa itu, dua anak tiri Mohd. Yusof, Puteri Erika, 20, dan Puteri Aqila, 16, berada di bilik masing-masing.

Ketika ditemui di Bilik Mayat HTAR petang ini, Mohd. Yusof yang ternyata masih sugul dan trauma menceritakan isterinya menjerit sejurus ternampak perompak masuk ke dalam rumah.

“Ketika itu, Puteri Erika terus kunci pintu biliknya dan terjun dari tingkap untuk selamatkan diri.

“Saya tak sempat lari lalu empat penjenayah itu kemudian ikat kaki, tangan dan mulut saya di ruang keluarga di tingkat atas. Puteri Aqila pula diikat di biliknya.

“Ketika mereka sedang ikat isteri saya, sepasukan anggota polis serbu masuk ke rumah saya menyebabkan dua daripada penjenayah berkenaan tarik isteri saya masuk ke dalam bilik,” katanya.

Mohd. Yusof menambah, ketika itu dua lagi penjenayah terbabit tidak sempat melarikan diri lalu menyerah diri kepada pihak polis.

Mohd. Yusof memberitahu, beliau dan Puteri Aqila berjaya diselamatkan oleh pasukan polis dan mereka tidak mengetahui apa yang berlaku terhadap Raja Noriana selepas itu.

Anggota-anggota polis pantas tiba di tempat kejadian sejurus dihubungi oleh Puteri Erika yang melarikan diri dengan terjun dari biliknya di tingkat atas sejurus menyedari kehadiran para perompak itu.

Puteri Erika patah pinggang selepas terjun dari tingkap biliknya.

Sementara itu, bermula dari pukul 5.30 hingga 8.20 pagi, sepasukan anggota polis yang berada di dalam rumah mangsa cuba mengadakan rundingan dengan dua penjenayah yang menahan Raja Noriana supaya membebaskan wanita itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, sejurus menyedari kedatangan pasukan polis, dua penjenayah itu menjadikan Raja Noriana sebagai tebusan dan mereka berkurung di bilik utama di tingkat atas.

Menurutnya, penjenayah terbabit menuntut diberi sebuah kereta manakala salah seorang rakan mereka yang ditahan sebelum itu dibebaskan untuk menjadi pemandu bagi membolehkan mereka melarikan diri.

“Penyamun itu tutup semua tingkap dan pintu bagi mengelak pergerakan mereka dilihat dari luar. Mereka dera wanita itu dengan mencederakannya sebagai ugutan kepada pasukan polis supaya memenuhi tuntutan mereka,” katanya kepada pemberita.

Menurut Khalid, kira-kira pukul 8.20 pagi iaitu tiga setengah jam selepas Raja Noriana ditahan, polis bertindak menyerbu bilik persembunyian penjenayah terbabit apabila mereka mula membakar bilik tersebut.

Katanya, kedua-dua perompak itu berjaya ditembak mati di bilik itu sebelum polis mengeluarkan mangsa untuk dikejarkan ke hospital.

“Anak perempuan mangsa (Puteri Erika) patah pinggang setelah terjun dari biliknya untuk melarikan diri manakala bapa dan seorang lagi anaknya (Puteri Aqila) tidak mengalami kecederaan serius,” ujarnya.

Dalam kejadian itu, seorang pengawal keselamatan tapak perumahan tersebut, Man Bahadur Nepal, 22, seorang rakyat Nepal, turut ditahan oleh kumpulan penjenayah terbabit. Lelaki itu diikat kedua-dua kaki, tangan dan mulut.

Khalid percaya kumpulan penjenayah itu terlibat dalam sekurang-kurangnya enam kes jenayah samun di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Penjenayah yang ditembak mati dikenali sebagai Mojib Ridwan, 25, dan Abdul Sugiono, 26, masing-masing memiliki pasport Indonesia yang sudah tamat tempoh pas lawatan.

Polis turut menemui pistol jenis Smith & Wesson .32 daripada penjenayah terbabit. Pistol itu dipercayai dicuri dari rumah seorang pegawai kerajaan di Seksyen 3 di sini pada 3 September lalu. Selain itu polis turut menemui enam butir peluru, sebilah parang dan dua pisau.

Sementara itu, rumah Mohd. Yusof pernah cuba dipecah masuk oleh penjenayah pada 1 September lalu. Perumahan D’Kayangan itu terletak di bekas tapak Litar Lumba Batu 3. Keluarga bekas pegawai polis itu merupakan keluarga pertama mendiami kediaman di kawasan perumahan tersebut.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment