Dendam tak sudah
KUALA LUMPUR: Marah kerana rahsianya seorang kaki perempuan terbongkar, seorang lelaki sanggup membalas dendam dengan menggunakan pelbagai cara untuk mengganggu kehidupan bekas isteri dan mentua.
Kasanova berusia 40-an itu juga didakwa membelasah bekas isterinya dengan teruk serta cuba mencabul adik iparnya.
Bekas isteri lelaki terbabit yang mahu dikenali sebagai Tina, 32, berkata penderaan mental dan fizikal dialaminya dan keluarga berlarutan lebih dua tahun lalu apabila bekas suami tidak henti-henti mengganggu mereka hampir setiap hari.
Walaupun lebih 20 laporan polis dibuat berikutan ancaman dan gangguan lelaki itu, dia masih berterusan mengganggu mereka sekeluarga.
Tina berkata, bekas suami yang bekerja sebagai kontraktor, berkahwin dengannya pada 2005 dan dikurniakan seorang anak perempuan.
“Bagaimanapun, ketika saya sedang sarat mengandung, dia menghilangkan diri dan enggan mengambil berat keadaan saya.
“Selepas disiasat, akhirnya saya dan keluarga mendapat tahu dia menjalin hubungan sulit dengan seorang gadis. Lebih memeranjatkan apabila kami mendapati dia sudah berkahwin sebelum ini dan mempunyai dua anak,” katanya.
Menurutnya, rahsia lelaki itu terbongkar selepas dia dan keluarga menghidu rumah yang didiami bekas suami dengan kekasih sulitnya itu.
“Saya yang tidak tahan ditipu akhirnya mengambil keputusan bercerai pada Ogos 2006. Bekas suami tidak puas hati dan mahu membalas dendam terhadap saya sekeluarga,” katanya.
Dia berkata, kali pertama penyeksaan dialaminya apabila dia mahu mengambil barang miliknya yang disimpan di rumah yang didiami bersama bekas suami di Puchong.
“Bekas suami tidak membenarkan saya memijak kaki di rumah itu selain memukul saya dengan kayu di leher.
“Tindakan itu menyebabkan saya terlantar di Hospital Serdang beberapa minggu akibat cedera teruk,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian tinggal bersama keluarga di Kepong, tetapi terus diganggu bekas suami bermula dengan puluhan panggilan telefon misteri setiap hari tanpa mengira masa.
“Lelaki itu sengaja menghubungi bapa dan adik-beradik saya. Dia sengaja mengeluarkan perkataan lucah atau membuat pelbagai bunyi seolah-olah sedang melakukan hubungan seks.
“Tidak cukup dengan gangguan itu, kereta kami turut menjadi mangsa apabila tayarnya kerap ditikam dengan pisau menyebabkannya bocor,” katanya.
Menurutnya, pernah tiga daripada empat tayar kereta milik dia dan keluarga dibocorkan menyebabkan mereka rugi antara RM400 hingga RM500.
“Malah, dia sengaja merosakkan alat penghawa dingin kereta atau memasukkan objek ke dalam ekzos menyebabkan kereta saya dan keluarga kerap dihantar ke bengkel untuk diperbaiki.
“Saya tidak ingat berapa kali tayar kereta kami dibocorkan, namun kerugian yang kami sekeluarga alami mencecah lebih RM5,000,” katanya.
Tidak cukup dengan itu, kedai pakaian milik keluarganya di Kepong menjadi sasaran apabila disimbah cat merah pada dinding dan cermin, disyaki angkara bekas suami.
“Tindakan itu memalukan kami sekeluarga kerana ramai menyangka kami meminjam wang along dan gagal membayarnya. Lebih teruk apabila dia sengaja menampal puluhan poster wajah saya di sekeliling kedai dengan perkataan kesat kononnya saya pelacur dan gila seks.
“Puluhan poster terbabit yang ditampal pada waktu malam menyebabkan maruah saya tercemar apabila masyarakat sekeliling memandang serong kepada saya,” katanya.
Lebih menakutkan apabila beberapa samseng dihantar ke kedai itu untuk membuat kacau dan mengganggu pelanggan menyebabkan perniagaan merosot.
“Dia seolah-olah ‘hantu’ yang sentiasa mengekori kami sekeluarga. Malah, adik saya yang pergi ke pasar malam nyaris dicabul lelaki terbabit yang muncul entah dari mana.
“Kami membuat lebih 20 laporan polis atas pelbagai gangguan dilakukan bekas suami di Balai Polis Rawang, Puchong, Sentul dan Dang Wangi, namun gangguan itu masih berterusan,” katanya.
Tina berkata, kegiatan jahat bekas suami terbongkar selepas perbuatannya menampal poster dan menyimbah cat di kedai keluarganya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang, baru-baru ini.
“Dengan bukti itu, kami sekeluarga membuat laporan di Balai Polis Sentul, kelmarin bagi memastikan dia diberkas dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Akibat tidak tahan dengan gangguan itu, mereka sekeluarga menukar semua nombor telefon bimbit selain berpindah rumah.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Sentul, Deputi Superintendan Ng Lean Seong, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mangsa dan memberitahu, siasatan masih dijalankan bagi memberkas suspek.
www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment