Pemilihan Umno ditangguh hingga Mac
Majlis Tertinggi Umno memutuskan hari ini untuk menangguhkan perhimpunan agung serta pemilihan parti dari Disember kepada Mac tahun depan.
Penundaan ini bertujuan memastikan proses peralihan kuasa berjalan lebih awal.
Pemilihan pucuk pimpinan Umno sebelum ini dijadualkan pada 16hingga 21 Disember depan.
Bagaimanapun, mesyuarat perwakilan Umno bahagian akan diteruskan seperti yang dijadualkan mulai 9 Oktober hingga 9 November depan.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga berkata, belum memutuskan sama ada akan mempertahankan jawatan presiden.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan membuat keputusan mengenainya sebelum mesyuarat bahagian bermula bulan depan.
Abdullah memberitahu demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tergempar MT selama sejam di ibupejabat Umno pagi tadi.
Sebelum itu, Abdullah mengadakan pertemuan empat mata selama setengah jam dengan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum mesyuarat MT bermula kira-kira jam 11 pagi tadi.
Mesyuarat MT ini merupakan pertemuan kedua pada bulan ini, selepas mesyuarat bulanannya pada 18 September.
Kebiasaannya, mesyuarat MT hari ini juga diadakan pada sebelah petang tetapi kali ini ia diadakan pada sebelah pagi.
www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment