03 September 2008

Rompakan sebuah treler dan alat ganti kenderaan di Johor | Pihak polis sepatutnya tidak menghadapi masalah mengesan mereka

8 perompak untung besar

JOHOR BAHRU: Sekumpulan penjenayah terpaksa bertungkus-lumus beberapa jam selepas memecah masuk sebuah bengkel di Kawasan Perindustrian Desa Cemerlang di sini, yang ditutup sempena cuti umum Hari Kebangsaan, Ahad lalu.

Kumpulan perompak terbabit kemudian meninggalkan bengkel itu bersama sebuah treler sarat muatan tayar baru dan alat ganti kenderaan dianggarkan bernilai RM500,000.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, sekumpulan lapan lelaki memakai topeng dan bersenjatakan parang dipercayai memecah masuk bengkel berkenaan yang dikawal tiga pengawal keselamatan warga asing dan mengambil masa kira-kira lapan jam sebelum melarikan barangan terbabit.

Menurut pemilik bengkel yang dikenali sebagai Chia, 30, penjenayah terlebih dahulu menerkam pengawal keselamatan terbabit sebelum menutup mata dan mengikat kaki serta tangan mereka.

“Mereka kemudian menyelongkar bengkel dan memunggah masuk alat ganti kenderaan serta 50 tayar lori ke dalam treler sebelum melarikan diri kira-kira jam 5 pagi.

“Kumpulan penjenayah terbabit dikatakan terpaksa mengambil masa lama berada di dalam bengkel itu kerana melakukan kerja memunggah hasil rompakan membabitkan alat ganti kenderaan berat dan tayar lori bersaiz besar.

“Saya difahamkan mereka mengambil masa lama untuk menghidupkan enjin treler yang dilarikan kerana ketiadaan kunci, mungkin mereka membuat sambungan sendiri bagi menghidupkan enjin,” katanya.

Chia berkata, beberapa minit selepas kumpulan penjenayah terbabit meninggalkan bengkel, seorang daripada tiga pengawal keselamatan berkenaan berjaya memboloskan diri daripada ikatan dan menghubunginya melalui telefon bimbit.

“Sebaik mendengar berita itu saya terus bergegas ke bengkel sebelum membuat laporan di Balai Polis Desa Cemerlang kira-kira sejam kemudian.

“Kerugian dianggarkan mencecah RM500,000 termasuk treler yang berharga lebih RM300,000, 50 tayar lori dianggarkan bernilai RM100,000 dan pelbagai alat ganti kenderaan,” katanya.

Sehubungan itu, Chia meminta orang ramai yang pernah terserempak dengan treler dilarikan itu supaya menghubungi pengurusnya, Eric di talian 019-755117 atau mana-mana balai polis berdekatan.

“Treler yang dilarikan itu berkepala merah dan tertulis K S Andrew pada cermin depan manakala bahagian belakangnya berwarna oren,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan bagi memburu kumpulan penjenayah terbabit.

www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment