03 September 2008

Jika Olimpik menjadi kayu ukur kekuatan dunia, Malaysia ternyata perlu reformasi

Minda: Amerika hilang taring?

DI ibu kota Beijing, China terbukti berjaya menafikan penguasaan Amerika Syarikat dalam saingan Sukan Olimpik 2008.

Di Caucasus, Russia mengetepikan pandangan Amerika dengan menghantar tenteranya bagi menekan Georgia - negara bekas Soviet Union yang menjadi sekutu rapat Washington di rantau berkenaan.

Di dalam negara sendiri, ekonomi Amerika menghadapi masalah kronik.

Dengan kemelut sedia ada, ditambah pula dengan kadar inflasi dan pengangguran pada tahap 11.3 peratus pada Julai lalu - tertinggi sejak 16 tahun - bukan itu saja berita buruk bakal menimpa Amerika.

Sukan Olimpik 2008 menandakan China kembali menjadi kuasa dunia sejak 1996 apabila mengutip pingat emas terbanyak berbanding negara lain.

Di Caucasus, Russia membuktikan ia mampu apa saja yang difikirkan sesuai untuk kepentingan Moscow, sama ada ia disenangi Rumah Putih atau tidak.

Kebebasan Kremlin itu termasuk pengiktirafan kepada Ossetia Selatan dan Abkhazia - dua wilayah dituntut di bawah penguasaan Georgia.

Dalam permainan kuasa besar di rantau itu, Russia jelas menewaskan Amerika.

Justeru, adakah tempoh penguasaan Amerika sebagai satu-satunya kuasa besar dunia akan berakhir dalam tempoh terdekat ini?

Jawapannya bergantung kepada maksud ‘terdekat’ itu.

Pada pandangan Mao Tse Tung, sesebuah negara dianggap sebagai kuasa besar dengan mengambil kira kepada jumlah pemilikan senjata.

Setakat ini, Amerika memang negara paling banyak menyediakan peruntukan persenjataan berbanding negara lain di dunia.

Amerika juga mengendalikan lebih 700 pangkalan di lebih 130 negara.

Dalam kerumitan semasa, ekonomi Amerika adalah lebih besar berbanding jumlah keseluruhan tiga negara utama lain.

Namun, Amerika bukan lagi menduduki tempat pertama dalam semua aspek seperti pernah dibanggakannya dulu.

Pusat kewangan dunia terunggul, misalnya, bukan lagi bertumpu di New York sebaliknya London.

Dana pelaburan terbesar dunia pula diambil alih Abu Dhabi.

Bangunan tertinggi di dunia pula terletak di Dubai tidak lama lagi.

Jangkaan mengenai pengecutan (atau pengembangan) kuasa Amerika memang pernah salah sebelum ini.

Dalam buku ditulis sejarawan Universiti Harvard, Paul Kennedy, dia menjangkakan kuasa ketenteraan Amerika akan merosot.

Tidak lama selepas buku Rise and Fall of Great Powers itu diterbitkan, Soviet Union berkubur dan meninggalkan Amerika sebagai satu-satunya kuasa besar dunia.

Melalui esei The End of History tulisan Francis Fukuyama, dia berhujah bahawa evolusi kemanusiaan berakhir selepas runtuhnya Tembok Berlin pada 1989.

Menurut Fukuyama, keadaan itu membolehkan ‘nilai universal demokrasi liberal Barat’ menjadi satu bentuk kerajaan baru.

Kenyataan yang berlaku selepas itu juga tidak tepat.

Dalam esei terbaru Fukuyama baru-baru ini, pakar di Universiti Johns Hopkins itu berkata, dominasi Amerika ke atas dunia berkurangan.

“Russia dan China muncul menawarkan model baru dengan menunjukkan bahawa kombinasi di antara autoritarianisme dan pemodenan boleh mencabar demokrasi liberal. Nampaknya gagasan itu diyakini banyak pihak,” katanya.

Russia dan China adalah anggota negara digelar Kelab BRIC (Brazil, Russia, India dan China).

Keempat-empat negara itu adalah pusat perkembangan ekonomi terbesar di dunia ketika ini.

BRIC merangkumi 40 peratus populasi dunia, memiliki rizab tukaran wang asing banyak dan memiliki cita-cita geopolitik.

Menteri Luar BRIC mengadakan mesyuarat rasmi pertamanya di Yekaterinburg, Russia pada Mei lalu.

Dalam keadaan semasa, agak sukar mencari pakar yang benar-benar bersedia memberikan ramalan jelas terhadap hayat penguasaan Amerika.

Bagi pakar ekonomi di Universiti New York, Nouriel Roubini, masa dua dekad diperlukan untuk ‘kesilapan dasar ekonomi, kewangan dan luar Amerika menghakis empayar’ negara itu.

Ramalan Roubini dua tahun lalu mengenai ‘gelembung sektor perumahan’ dan ‘kelembapan’ akibat industri itu terbukti benar.

Jika ramalan Roubini kali ini benar, tempoh dua dekad dianggap singkat secara relatif.

Empayar Rom bertahan lebih 500 tahun, British kira-kira 460 tahun dan Sepanyol kira-kira 400 tahun.

Satu daripada masalah terbesar Amerika, kata Roubini, adalah kedudukannya sebagai peminjam dan penanggung hutang terbesar dunia.

Negara pemberi pinjaman kepada Amerika pula menjadi saingan utamanya seperti China, Russia dan negara Timur Tengah.

“Sejarah memberikan pengajaran terhadap kepentingan mengurus kewangan secara berhati-hati.

“Empayar British merosot bermula pada Perang Dunia Kedua apabila berlaku defisit fiskal negara itu kesan peperangan.

“Defisit akaun semasa menjadikan empayar itu sebagai peminjam mutlak,” katanya.

Defisit British dibiayai dengan peningkatan kuasa negara pemberi pinjaman yakni Amerika.

Sama ada ia akan bergerak semula ke arah itu bergantung kepada daya saing pentadbiran Washington.

Masalahnya, pasukan Presiden George W Bush tidak menunjukkan contoh yang baik. – Reuters



Fakta Amerika

DARATAN: 9,161,923 km persegi

PERAIRAN: 664,707 km persegi

POPULASI: 303,824,646

(anggaran Julai 2008)

KADAR PERTUMBUHAN PENDUDUK: 0.883% (anggaran 2008)

PURATA JANGKA HAYAT

PENDUDUK: 78.14 tahun

KUMPULAN ETNIK: Kulit putih (81.7%),

hitam (12.9%), Asia (4.2%), Amerindian dan pribumi Alaska (1%) dan pribumi Hawaii dan kepulauan Pasifik (0.2%)

AGAMA: Protestan (51.3%), Roman

Katholik (23.9%), Mormon (1.7%),

Kristian lain (1.6%), Yahudi (1.7%),

Buddha (0.7%), Islam (0.6%) dan lain-lain (18.6%)

BAHASA: Inggeris (82.1%), Sepanyol (10.7%), Indo-Eropah (3.8%), Asia

dan kepulauan Pasifik (2.7%)

dan lain-lain (0.7%)

KADAR CELIK HURUF: 99 peratus

PENDAPATAN PERKAPITA: RM156,000

KELUARAN DALAM NEGARA KASAR: RM47.1 trillion

www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment