Maksiat dan Botol Arak Cemari Ramadhan
Kuala Terengganu - Pihak berkuasa kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu diminta membuat pemantauan serta bertindak tegas ke atas mana-mana remaja yang dikatakan semakin ‘hanyut’ di negeri ini
Kelonggaran penguatkuasaan serta budaya hiburan yang ‘berlebihan’ dibawa masuk oleh kerajaan sendiri di bawah pemerintahan Islam Hadhari kini membawa padah.
Tinjauan di sekitar bandaraya Kuala Terengganu cukup memualkan walaupun sudah seminggu umat Islam menyambut bulan Ramadhan yang penuh keberkatan.
Tanpa rasa bimbang dan malu di kalangan belia dan remaja terus melakukan aktiviti liar yang bertentangan dengan nilai akhlak dan moral.
Seorang peniaga, Abdul Malik, 45, dari Wakaf Tembesu menggesa pihak terbabit menjalankan penguatkuasaan yang tegas terhadap belia remaja yang mencemari bulan ramadan ini.
Katanya, terdapat ramai di kalangan mereka yang tidak berpuasa dengan bebas merokok, menghidu gam serta minum minuman keras.
“Saya selalu terjumpa ada di kalangan belia dan remaja yang tidak berpuasa. Mereka itu bebas merokok dan menghidu gam dengan minuman yang memabukkan,” ujarnya.
Katanya, lokasi yang menjadi tempat golongan remaja ‘liar’ ponteng sekolah, tidak berpuasa dan melepak di kawasan peranginan Tok Jembal dan Seberang Takir.
Seorang pekerja swasta, Saudara Ahmad Jusoh, 35, mendakwa lokasi ‘panas’ remaja berpeleseran termasuk di kalangan anak gadis adalah di sebuah plaza perniagaan di pusat bandar ini.
“Saya selalu jumpa belia dan remaja ‘liar’ berpeleseran lelaki dan perempuan. Umur pun dalam belasan tahun dan awal 20-an.
“Mereka (remaja) menjadikan lokasi itu tempat berkumpul, melepak, merokok dan minum minuman keras jenis ‘Royal Stout’,” jelasnya.
Katanya, pihak penguatkuasa jarang sangat membuat serbuan atau rondaan di tempat terbabit yang dijadikan markas kumpulan tertentu.
Tinjauan Buletin Online pada malam 6 September lalu gagal merakamkan kelibat serta aksi remaja mabuk kerana kekurangan peralatan kamera yang baik tetapi berpeluang mengambil gambar pada keesokkan harinya kesan dari aktiviti tidak sihat remaja terbabit.
www.buletinonline.net
No comments:
Post a Comment