09 September 2008

Jenayah di kawasan Kapar, Klang perlu ditangani segera

Tiga beranak ditahan bantu siasatan kes bunuh remaja lelaki di Kapar

KLANG: Polis menahan seorang lelaki bersama dua anaknya bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang remaja lelaki dengan keadaan lehernya hampir putus, dipercayai dibunuh di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Perepat, Kapar di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang, ACP Mohamad Md Yusuf berkata penternak kambing yang berumur 48 tahun bersama dua anak lelakinya yang berumur 22 dan 21 tahun itu ditahan di rumah mereka yang terletak berhampiran dengan tempat kejadian, jam 6 petang semalam.

Beliau berkata suspek yang berumur 22 tahun itu didapati kenal dengan remaja yang ditemui mati, S.Rupenthiran, 19, dan berdasarkan kepada keterangan ahli keluarga Rupenthiran, mereka berdua sering bergaduh dan berselisih faham.

“Punca pergaduhan masih dalam siasatan dan polis percaya dengan penangkapan kesemua suspek itu, kes ini akan dapat diselesaikan. Kami akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga suspek di Mahkamah Majistret Klang petang ini,” katanya dalam persidangan akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang di sini hari ini.

Dalam kejadian semalam, mayat Rupenthiran, kerani di sebuah kilang ais di Pelabuhan Klang, ditemui tertiarap oleh pengusaha ladang kelapa sawit itu yang sedang melakukan rondaan pada jam 10 pagi.

Beberapa kesan tetakan ditemui di bahagian belakang kepala, kaki serta badan Rupenthiran.

Mohamad berkata suspek berumur 22 tahun itu membuat laporan polis di Balai Polis Kapar kira-kira pukul 11 pagi semalam dengan mendakwa beliau dikejar dan dipukul oleh 20 orang lelaki malam Sabtu lepas, iaitu pada malam Rupenthiran hilang.

“Polis percaya kejadian itu ada kaitan dengan pergaduhan kumpulan remaja lelaki membabitkan suspek dan Rupenthiran,” katanya.

Berikutan laporan polis itu, Mohamad berkata polis menahan enam lelaki yang berumur antara 18 dan 26 tahun petang semalam bagi membantu siasatan.

Beliau berkata turut membuat laporan polis pada hari yang sama ialah seorang pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan Tamil Velambrossa, Kampung Perepat, yang mendakwa melihat kira-kira 20 lelaki bersenjatakan parang cuba masuk ke dalam kawasan sekolah dan mengejar seorang lelaki pada malam Sabtu lepas. - Bernama

No comments:

Post a Comment