11 September 2008

Noraniza Idris bercerai lagi | Ikatan perkahwinan yang dibina hanya sekadar beberapa bulan sahaja usianya

Tidak akan buka tudung

IBU bercerai, anak pula yang memberi nasihat. Kasih sayang seorang anak kepada ibu, membuatkan Mohd Aliff Haiqal, menasihatkan penyanyi etnik popular, Noraniza Idris agar ibunya itu membuat kenyataan kepada umum mengenai statusnya dirinya yang terkini.

Tidak mahu ibu kesayangannya menjadi bahan bualan kosong orang ditambah pula dengan persoalan-persoalan 'cepu emas' yang mungkin bakal ditanya orang nanti, si anak mahu ibunya tanpa berselindung menjelaskan yang dia menjanda semula selepas berkahwin kali kedua dengan bekas ayah tirinya itu.

Apa yang diinginkan Aliff adalah yang terbaik untuk ibu dan keluarganya sekali gus dapat mengurangkan bebanan simpanan rahsia keluarganya di kotak fikirannya.

"Saya rasa ini adalah jalan yang terbaik buat ibu. Kalau tak, sampai bila dia nak merahsiakan penceraiannya itu? Sekarang ni, sedikit bebanan kami telah pun dikeluarkan.

"Lagipun kalau tak bagi tahu kepada umum status ibu dengan betul, mana tahu, ada orang yang ikhlas untuk menjadi suami (baru) dia," tuturnya berterus terang.

Biarpun Aliff baru sahaja mencecah usia 19 tahun, pemikirannya sungguh matang. Dia tahu akan tanggungjawabnya sebagai seorang abang dan anak kepada keluarganya.

Malah, dia dan adik-adiknya sudah lali tentang gosip-gosip yang sentiasa mengiringi kehidupan ibunya. Oleh kerana itu, keluarganya tidak kisah jika kata-kata kurang enak diperkatakan mengenai ibunya.

"Memang sejak kecil lagi kami didedahkan dengan gosip-gosip tak kira yang baik mahupun buruk tentang ibu saya. Jadi setiap perkara itu kami terima dan bincang bersama jika gosip itu agak berat," katanya selepas majlis berbuka puasa dan menandatangani Perjanjian Persefahaman Kerjasama (Mou) di antara Noraniza Idris Production (NIP) dan Pro Sinar Event Management di Ampang kelmarin.

Solat hajat minta petunjuk

Ikatan perkahwinan yang dibina hanya sekadar beberapa bulan sahaja usianya.

Runsing seketika dengan apa yang perlu dijawab tatkala media bertanyakan mengenai status terkini dirinya, Kak Ani ikut kata anak kesayangannya itu.

Setelah memberi penjelasan, Kak Ani mengakui dirinya terasa lapang dengan bebanan rahsia yang perlu disimpannya.

"Saya kini lebih tenang. Bila difikirkan semula nasihat anak, ada betulnya juga. Lebih lama saya simpan, lebih berat tanggungan yang saya pikul.

"Sebelum ini, Aliff banyak kali pesan, asyik orang tanya sahaja raya dekat mana, kampung saya atau suami? Tak pun, orang akan panggil saya, datin sana, datin sini. Ini membuatkan saya rasa tak selesa.

"Alhamdulillah, sekarang ini, saya lebih fokus pada kerja dan anak-anak, tak mahu pandang belakang," tuturnya.

Biarpun kata-katanya kental dengan kehidupan yang dialaminya, wajah Kak Ani yang agak suram memberitahu tentang keadaannya kini.

Sebelum membuat keputusan untuk bercerai, pendirian Kak Ani berbelah bahagi, tidak tahu adakah perkara yang dilakukannya di jalan yang benar.

Dia bimbang andainya dia melakukan kesilapan yang mampu mengguris hatinya sendiri dan keluarga.

Oleh itu, untuk mendapatkan kepastian, Kak Ani membuat sembahyang hajat dan berwirid supaya dirinya tidak tersilap langkah.

"Saya minta Tuhan agar memberi saya buat pendirian yang betul. Jika perkata ini baik alhamdulillah, tapi kalau tak baik, tunjukkanlah dengan jelas.

"Selepas sebulan lima belas hari, akhirnya saya mendapat petunjuk," ungkapnya.

Cuba mengorek lagi peleraian mahligainya, khususnya mengenai tarikh penceraiannya, Kak Ani hanya menuturkan: "Cukuplah untuk saya menjelaskan yang saya dah habis edah."

Sangka kahwin boleh tutup masalah

Bila rumah tangganya yang dibinanya buat kali pertama dan bertahan selama 20 tahun itu musnah, pasti hati seseorang wanita itu akan punah.

Apalagi bila ditohmah dengan 1,001 fitnah sehingga memberi tekanan pada diri. Mahu melarikan diri dari masalah, Kak Ani hanya nampak pada satu jalan sahaja, iaitu kahwin.

Mungkin dengan cara ini, segala bebanan dapat dikurangkan dengan mendapat belaian daripada seorang suami.

"Dulu, apa yang saya fikir, kalau kahwin boleh hilangkan tekanan dan separuh masalah boleh selesai. Apalagi bila fikiran saya bercelaru, tak tahu yang mana harus saya fokuskan.

"Kebetulan, saya kenal bekas suami (kedua) saya ini pun di kalangan saudara saya. Tanpa berfikir panjang, saya pun kahwin.

"Walau apa pun, saya tak menyesal kerana setiap perkara yang terjadi ada hikmahnya. Saya beruntung kerana dari dulu hingga sekarang, macam-macam dugaan yang ditempuhi. Untuk ini, perasaan tertekan tidaklah seteruk mana," katanya yang mengakui dirinya takut untuk digelar janda buat kali kedua.

Pernah janji tak mahu bermadu

Dahulu, Kak Ani pernah berjanji dengan dirinya, dia tidak mahu berkongsi kasih suami bersama wanita lain.

Namun, mungkin terlalu yakin dengan pendiriannya, Kak Ani terkandas dengan kata-kata sendiri.

"Saya pernah berjanji pada diri yang saya tak mahu bermadu kasih dengan wanita lain. Sekali, terkena pula pada saya. Tuhan nak tunjuk. Macam orang, kita ludah, jilat balik.

"Bila terjadi macam ni, baru saya tahu tinggi langit dan bumi, Kehidupan kita boleh berubah sekelip mata saja. Dan saya anggap ia sebagai satu pengajaran yang besar dari kehidupan," katanya.

Tatkala ditanya bagaimana penilaiannya terhadap mahligai keduanya yang telah pun musnah beberapa bulan lalu, Kak Ani sekadar menjawab: "Perkahwinan kedua, tak tahulah nak nilai macam mana. Sebab masa saya kahwin dulu, kononnya nak ikut orang, kahwin dulu baru bercinta.

"Dan perlu diingat, kahwin suami orang, mana boleh tunjuk-tunjuk sangat."

Mahu hasilkan buku biografi

Sukar untuk menceritakan kisah liku-liku kehidupannya kepada umum, Kak Ani bercadang pula untuk menghasilkan sebuah buku biografi mengenainya.

Bagi Kak Ani, hanya inilah satu-satunya cara untuk membuang segala masalah yang dibendung selama ini.

"Insya-Allah saya akan bukukan kisah-kisah saya dari usia kecil hingga kini. Sekarang ini, saya masing mengumpulkan gambar-gambar dan sedang menulis lagi.

"Kemudian, cerita saya itu akan disunting semula ke bahasa yang lebih sedap sedikit. Inilah terapi dan luahan perasaan saya," tuturnya sambil tersenyum.

Bagaimanapun ujar Kak Ani, biarpun kini dirinya bergelar janda semula, tidak bermakna penampilannya juga akan berubah.

"Saya tak mungkin akan membuka tudung ini semula kerana hasrat saya untuk bertudung sudah lama tersimpan," akhirinya.

www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment