11 September 2008

Cina pendatang, Ahmad bersalah dan dihukum

Umno jatuh hukum, Ahmad dakwa keputusan tidak berpihak kepada parti

UMNO telah menjatuhkan hukuman gantung keahlian keatas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang dikatakan telah menyentuh sensitiviti kaum.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini.

Ahmad Ismail yang sebelum ini telah mencetuskan kontroversi dengan kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum digantung keahlian dan dilucutkan hak-haknya di dalam parti selama tiga tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini.

Amaran kepada parti komponen yang lain

Pada masa yang sama, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO berkata, MT turut memutuskan bahawa parti komponen Barisan Nasional yang lain harus mengenakan tindakan tegas jika ahli mereka turut melakukan perkara demikian (menyentuh sensitiviti kaum).

Hukuman itu adalah mengikut Perkara 20.9 perlembagaan parti, kata Abdullah, yang juga Presiden Umno, pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat selama dua jam itu di sini hari ini.

Pada satu ceramah 23 Ogos lepas dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, Ahmad didakwa menyebut bahawa masyarakat Cina adalah pendatang di negara ini dan tidak layak menuntut hak yang sama.

Kenyataan itu telah menimbulkan kemarahan pemimpin Gerakan dan MCA yang menuntut Ahmad meminta maaf secara terbuka tetapi Ahmad enggan berbuat demikian.

"Apa-apa jawatan yang dia (Ahmad Ismail) pegang sekarang ini yang bersabit dengan parti atau memihak kepada rakyat ataupun yang mewakili parti akan digugurkan," kata Abdullah, yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN).

Ketika ditanya jika ketua bahagian Bukit Bendera itu boleh merayu atas hukuman yang dikenakan, beliau berkata: "Biasanya semua ada hak merayu."

Akhbar

Kepada soalan lain jika tindakan akan dikenakan ke atas akhbar yang melapor kenyataan Ahmad, beliau berkata keputusan itu akan dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri.

"Hal-hal yang berkaitan dengan akhbar, hal-hal yang berkaitan dengan tindakan orang yang di luar dari parti kita sebagaimana yang saya katakan tadi, ini tentulah sekali akan dibuat keputusan oleh jabatan-jabatan kerajaan atau kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri, PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan jabatan-jabatan lain," katanya.

Perdana Menteri berkata, parti-parti politik tidak boleh mengambil tindakan dan jika parti-parti politik menyedari sesuatu perkara yang berlaku itu berpotensi menimbulkan keadaan yang tidak baik dalam negara, maka tidak ada kesalahan bagi partiparti yang berkenaan untuk membuat laporan polis.

Begitu juga tidak ada kesalahan bagi mana-mana rakyat Malaysia yang merasakan sesuatu yang tidak baik telah berlaku untuk membuat laporan kepada polis dan menyatakan sesuatu yang perlu diambil tindakan undang-undang yang dipakai pada waktu itu, katanya.

Demo kecil-kecilan

Terdahulu, sekumpulan 10 lelaki berkumpul di hadapan pintu masuk utama ke Menara
Datuk Onn hari ini dengan membawa kain rentang yang menunjukkan mesej menyokong Ahmad.

Mereka yang mengaku tidak mewakili Umno atau mana-mana Badan Bukan Kerajaan berkata mereka terpanggil untuk berbuat demikian sebagai menunjukkan sokongan kepada Ahmad yang menghadapi tindakan disiplin oleh Umno kerana dikatakan mengucapkan kata-kata perkauman ketika kempen pilihan raya kecil Kepala Batas baru-baru ini.

Antara ungkapan yang terdapat pada kain-kain rentang yang mereka bawa ialah "Theresa Kok Celupar, Biadap, Kurang Ajar. Umno Jangan Takut, MT Pertahankan Perjuangan Datuk Ahmad Ismail, Kami Sokong Datuk Ahmad Ismail dan MT Pertahan Maruah Datuk Ahmad Ismail.

Mereka berada di hadapan Menara Datuk Onn itu selama hampir 10 minit sebelum bersurai sebaik Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sampai untuk mempengerusikan mesyuarat khas MT pada kira-kira jam 2.45petang.

Keputusan tidak berpihak kepada Umno

Sementara itu Utusan melaporkan Ahmad Ismail menerima dengan reda keputusan menggantung haknya sebagai ahli seperti mana yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) dalam mesyuarat khasnya hari ini.

Beliau yakin bukan mudah untuk Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak serta anggota MT memutuskannya kerana ia melibatkan satu tindakan yang berkemungkinan tidak berpihak kepada UMNO.

Bagaimanapun beliau percaya keputusan seperti itu terpaksa juga dibuat bagi memastikan keselamatan di negara ini terpelihara.

"Dasar kepimpinan Datuk Seri (Abdullah) adalah berasaskan kepada keselamatan selain kestabilan negara dan ekonomi.

Oleh itu apa yang dilakukan oleh kedua-dua pemimpin tertinggi kita ini (Abdullah dan Najib) bersama anggota MT yang lain adalah untuk keselamatan negara walaupun keputusan ini mungkin tidak berpihak kepada UMNO,’’ katanya.

Beliau berkata demikian di dalam sidang akhbar khas yang diadakan di Tingkat 38, Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebagai reaksi terhadap hukuman yang diterimanya. / KLpos, Utusan, Mstar, Foto: AP

No comments:

Post a Comment