30 September 2008

MB Kedah terkejut - Orang ramai serbu minta duit raya ~ Kosmo

ALOR STAR – “Orang ramai dijemput ke pejabat Menteri Besar Kedah untuk menerima duit raya, RM50 pada 29 September, dari pukul 10 pagi sehingga 12 tengah hari.”

Begitulah kandungan risalah yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu di sekitar masjid di bandar raya ini sehingga menyebabkan pintu masuk Wisma Darul Aman sesak diserbu orang ramai seawal pukul 7 pagi semalam.

Keadaan tersebut mengejutkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di pejabatnya di sini yang tidak tahu menahu mengenai kewujudan risalah tersebut.

Tinjauan Kosmo! mendapati, kira-kira 500 orang penduduk sekitar bandar ini beratur panjang di pintu masuk Wisma Darul Aman yang juga pejabat kerajaan negeri di sini setelah terbaca risalah palsu terbabit.

Bagaimanapun, kekecewaan orang ramai apabila diberitahu bahawa risalah itu palsu terubat apabila Pegawai Khas Perhubungan Awam, Pejabat Menteri Besar dan kakitangannya menyampaikan duit raya sebanyak RM20 seorang.

Salah seorang warga emas yang ditemui, Maimunah Abdul Rahman, 60, berkata, beliau bersama rakan datang ke pejabat Menteri Besar hari ini (semalam) untuk mengutip duit raya setelah diberitahu pihak masjid semalam.

“Mak cik datang ke sini nak ambil duit raya. Tak sangka ramai pula orang datang dan terpaksa berbaris panjang,” ujarnya.

Seorang remaja, Muhammad Kamal Wahab, 20, berkata, dia dan rakan-rakan telah menunggu sejak awal pagi untuk mendapatkan duit raya yang di janjikan Menteri Besar dalam risalah yang disebarkan di masjid kawasan rumahnya.

“Selain risalah ada juga di kalangan rakan saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS),” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak terkejut dengan kejadian itu.

Beliau yang ditemui selepas Majlis Penganugerahan Ganjaran kepada atlet sukan Sukma ke 12 yang lalu menganggap kejadian itu seperti gurauan ‘April Fool’ orang yang tidak bertanggungjawab.

www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment