30 September 2008

Bukan Islam harus hormati masjid - MB ~ utusan

ALOR STAR 29 Sept. - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) menegaskan masyarakat bukan Islam di negara ini perlu menghormati sensitiviti umat Islam termasuk menutup aurat sekiranya mereka mengunjungi sesebuah masjid.

Tegas beliau, bagi umat Islam, masjid merupakan tempat suci yang perlu dihormati.

''Kalau hendak melawat tempat orang (masjid), kena hormat, kena tutup aurat walaupun bagi agama orang itu (bukan Islam) ia tidak perlu, kerana ini tempat orang lain.

''Ia sama seperti kita ke ICU (unit rawatan rapi), ada tempat kena tutup muka, pakai kasut dan gaun yang selalu dipakai jururawat tapi kita kena ikut sebab ia peraturan di situ," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Kedah pada temasya Sukma Ke-12 di Terengganu, di Dewan Seri Negeri, Wisma Darulaman di sini hari ini.

Beliau mengulas teguran Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Zakariah Isa terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim kerana tidak berpakaian sopan ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama imam dan ahli jawatankuasa Masjid Nurrusaadah di Cheras Baru, baru-baru ini.

Mengenai cadangan supaya masjid menyediakan jubah untuk mengelakkan pengunjung bukan Islam masuk ke dalam masjid dalam keadaan tidak sopan, Azizan memberitahu, kalau peraturan, ia mungkin baik dilaksanakan.

''Masjid Negara dah lama buat dah, jubah disediakan kepada pelancong," tambah beliau.

Ketika ditanya apakah di Kedah, cadangan tersebut perlu dilaksanakan khususnya di Masjid Zahir yang turut menjadi tumpuan pengunjung, Menteri Besar berkata, ia belum difikirkan perlu.

''Di Kedah, belum ada keperluan untuk buat begitu. Di Kedah, masjid tempat sembahyang, bagi pelancong di dalamnya tidak ada apa, kalau mereka hendak ambil gambar, ambil sahaja dari luar," kata beliau.

''Apa yang penting, kita kena tahu menghormati tempat itu (masjid). Saya sendiri pun jaga sensitiviti orang bukan Islam," kata beliau.

www.utusan.com.my

* Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Zakariah Isa sepatutnya tegur pembaca berita tv yang ghairah menayangkan dada

No comments:

Post a Comment