Anifah: Lakukan sesuatu untuk pulihkan Umno
KUALA LUMPUR: Pengerusi Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional Sabah Datuk Anifah Aman berkata kepimpinan Umno perlu melakukan sesuatu bagi memulihkan masalah dalaman parti itu daripada terlalu gusar memikirkan kemungkinan wakil rakyatnya menyertai pembangkang.
"Apa yang berlaku sekarang ialah pemimpin-pemimpin Umno terlalu memberi tumpuan kepada ura-ura kononnya ada wakil rakyatnya akan melompat parti padahal mereka sepatutnya menangani masalah Umno itu sendiri," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Kota Kinabalu.
Anifah, yang juga Anggota Parlimen Kimanis dan Ketua Umno Bahagian Kimanis, berkata soal wakil rakyat daripada Umno menyertai pembangkang tidak akan timbul jika parti itu terus kuat dan pemimpin-pemimpinnya tidak terbawabawa dengan isu-isu lain.
"Saya lebih risau tentang apa yang akan terjadi kepada Umno khususnya menjelang pemilihan parti Disember ini," katanya.
Ekoran pilihan raya umum Mac lepas yang menyaksikan BN buat pertama kalinya kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, Anifah mengambil keputusan yang agak mengejutkan dengan menolak pelantikannya sebagai seorang timbalan menteri, jawatan yang disandangnya selama dua penggal sebelum itu.
Anifah berkata kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu lepas bahawa rancangan pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi pada 2010 adalah terlalu lama, merupakan satu lagi masalah dalaman Umno yang perlu segera diselesaikan sebelum ia menjadi lebih buruk.
Seorang lagi Anggota Parlimen BN, Datuk Dr Tiki Lafe, pula berkata parti-parti komponen lain dalam BN juga mulai bimbang dengan pergolakan dalam Umno.
Dr Tiki, Anggota Parlimen Mas Gading dan Naib Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak, satu daripada 14 parti komponen BN, berkata beliau melihat tanda-tanda "krisis" akan berlaku dalam Umno ekoran kenyetaan terbuka oleh Muhyiddin mengenai Abdullah, yang juga Presiden Umno.
Satu lagi trend yang membimbangkan, kata beliau, ialah kenyataan berbaur perkauman oleh Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail.
Ketika ditanya kenapa beliau tidak menyertai rombongan 46 Anggota Parlimen BN yang kini dalam lawatan sambil belajar ke Taiwan, Dr Tiki berkata, beliau tidak nampak manfaat yang banyak daripada lawatan itu. BERNAMA
No comments:
Post a Comment