Zahidi juga sah tanding ketua Pemuda | Malaysiakini
Ketua Umno bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainol Abidin hari ini mengesahkan menawarkan diri bertanding jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia Disember ini.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Zahidi berkata beliau akan membuat pengumuman rasmi mengenainya di Kuala Lumpur selepas 18 September ini.
Beliau yang juga timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Perlis berkata, beliau mahu menawar diri bertanding jawatan tersebut bagi memulih dan menjenamakan semula pergerakan tersebut.
Katanya, ini kerana Pemuda Umno kini tidak lagi mendapatkan sokongan dari akar umbi, terutama dalam pilihanraya umum Mac lalu dan pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh bulan lalu.
Beliau mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah gagal menyelesaikan masalah yang melanda Umno sekarang.
Katanya, kelemahan perdana menteri untuk mendekatkan diri dengan mantan perdana menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad), telah menghilangkan keyakinan rakyat.
'Siapa kuat'
Pergeseran antara perdana menteri dengan mantan perdana menteri itu, menurutnya, menandakan bermulanya kejatuhan Umno.
Malah, katanya, ia juga mengakibatkan parti-parti komponen Barisan Nasional turut hilang keyakinan.
Katanya, pergeseran antara Abdullah dan Dr Mahathir mungkin akan berterusan dalam Pemuda Umno melalui menantu dan anak masing-masing.
Anak mantan perdana menteri, Datuk Mukhriz telahpun mengumumkan minggu lalu keputusannya untuk bertanding jawatan ketua Pemuda.
Manakala menantu perdana menteri, Khairy Jamaluddin yang juga naib ketua Pemuda Umno, juga dijangka menawarkan diri bertanding jawatan ketua pergerakan itu.
Menurut Zahidi, keputusannya untuk bertanding jawatan tersebut bukan untuk menunjukkan 'siapa yang kuat'.
Bela rakyat
Sebaliknya, katanya, hasratnya berbuat demikian adalah untuk memperkuatkan Pemuda, parti serta membela agama dan rakyat.
"Saya mewakili perjuangan rakyat," katanya.
Selain Mukhriz dan Khairy, bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo juga akan bersaing merebut jawatan tersebut.
Manakala menteri besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob yang sebelum menyatakan minatnya untuk bertanding jawatan itu, kelmarin telah menarik diri.
Jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia kosong apabila penyandangnya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak akan mempertahankan jawatan tersebut Disember depan.
Semalam, pergerakan tersebut telah menyatakan sokongannya kepada Hishammuddin untuk bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan parti Disember ini.
www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment