Peralihan Kuasa - Pak Lah perlu lakukan segera!
Entah sedar tidak sedar episod peralihan kuasa Pak Lah telah dibangkitkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali. Masa 2010 adalah terlalu lama – dan mungkin justifikasi masa terlalu panjang untuk peralihan kuasa ini dibuat berdasarkan kepantasan UMNO dan Barisan Nasional hilang sokongan rakyat. Ini memungkinkan keperluan perubahan dalam UMNO itu dijalankan dengan pantas dan sekiranya masih leka maka UMNO akan hanya tinggal sejarah silam yang hanya akan dibaca kejayaan dan kegagalannya. Dalam keadaan itu Melayu bagaimana agaknya.
Perubahan kuasa perlu dilakukan segera atau reformasi dalam UMNO perlu dilaksanakan secepat mungkin? Mana satu mana. Sekiranya perubahan kuasa itu dilakukan segera dan kesegeraan itu tidak di susuli dengan perubahan dalam UMNO maka itu juga akan jadi sia-sia.
Apa makna peletakan jawatan Pak Lah kalau sistem buruk dalam UMNO, politik wang, rasuah, dan nilai integriti yang semakin pupus wujud dalam UMNO. Apa makna perubahan dalam UMNO kalau ahli pemikiran ahli masih pada tahap ortodoks – menyokong kerana mahu disokong dan ditaja kehidupan. Apa makna kalau maruah boleh dijual beli, kronisme dan nepotisme menjadi pegangan kepimpinan dan sentiasa memandang rendah keintelektualan rakyat. Apa makna sekiranya kepimpinan yang dilantik oleh rakyat hanya menjadi pemimpin yang mahu memikirkan mengenai diri, tempat dalam politik dan hanya mahu kesenangan diri lantas mengikuti apa sahaja yang di lakukan oleh ketua mereka.
UMNO perlu berubah. Ahli UMNO perlu sedar bahawa UMNO dalam arah yang dituju akan menjadi satu pertubuhan pembangkang. Barisan Nasional kena sedar – MCA dan Gerakan sendiri sudah mula dan akan mula berpaling tadah kerana UMNO adalah dominasi orang tertentu untuk orang tertentu dan kerana orang tertentu.
Amaran kepada UMNO hari ini diiringi dengan segala simptom yang kronik dan ini sudah merebak bukan menjadi nanah atau barah seperti yang sering dikatakan tetapi menjadi budaya dalam UMNO. Ini berbeza, kalau menjadi penyakit kita perlu mencari ubati tetapi kalau ia menjadi budaya seakan ketagihan – ia tidak akan dapat diubati kerana UMNO tidak sedar bahawa organisasi itu kini kian di tinggalkan.
Hari ini UMNO semakin khayal dalam budaya yang diamalkan lantas tidak sedar perbuatan mereka semakin lama semakin memalukan. UMNO tidak lagi se gah mana. Ini perlu kita serapkan kepada ahli dan kepimpinan yang ada. UMNO seakan sinonim dengan satu pertubuhan yang dipenuhi oleh mereka yang mahu kuasa untuk diri mereka sendiri. UMNO dan kerajaan seakan sama dan ini menjadikan perjuangan rakyat itu terbantu kerana perjuangan politik.
Saranan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu mengenai mempercepatkan peralihan kuasa memang ada kebenaran dan keperluan tetapi sekiranya tidak diresapi dengan usaha reformasi dalam UMNO maka yang akan jadi penerus adalah budaya sama dan yang akan menjadi kritikal adalah Melayu itu sendiri.
www.umno-reform2.com
No comments:
Post a Comment