29 September 2008

Habuan seks: MB Perak akan pecat jika Zul tidak lepas jawatan ~ Mstar

PETALING JAYA: Ahli Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT), Zul Hassan akan dipecat jika enggan meletakkan jawatannya dalam majlis kerajaan tempatan tersebut dengan segara, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

"Jika beliau masih tidak meletakkan jawatannya, kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk memecat beliau," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Jelasnya, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan tersebut sejak Jumaat lalu agar Zul berbuat demikian ekoran kenyataannya yang mengaku ada menerima habuan khidmat seks.

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak menetapkan sebarang tarikh akhir kepada Zul untuk berbuat demikian.

"Kita tak beri tarikh kepadanya, tapi dia perlu hormati keputusan yang telah kerajaan negeri tetapkan," katanya.

Tambahnya lagi, hingga kini beliau masih belum menerima sebarang maklumat mengenai perletakkan jawatan Zul.

Bagaimanapun Nizar berharap agar Zul dapat mematuhi arahan tersebut iaitu melepaskan jawatannya dengan kadar segera.

Sementara itu Yang Dipertua MDPT, Hasim Hasan berkata, sehingga sekarang beliau tidak menerima sebarang maklumat terkini berhubung status Zul sebagai ahli majlis.

"Saya masih belum tahu perkembangan terkini sama ada Zul ada menghantar surat peletakkan jawatan ataupun tidak kerana saya mula bercuti untuk sambutan Aidilfitri mulai hari ini," katanya yang hanya mengetahui mengenai perkara ini melalui media.

Ditanya mengenai pengisian kekosongan jawatan ahli MDPT apabila Zul meletakkan jawatan nanti, beliau berkata, perkara itu diserahkan kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar.

"Pegawai Daerah tak ada kuasa melantik ahli majlis, semuanya terletak pada kerajaan negeri," katanya.

www1.mstar.com.my

No comments:

Post a Comment