KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata untuk mengelak kemalangan dan menjadikan jalan raya sebagai suatu tempat yang selamat bukannya satu perkaa yang mustahil.
Dalam perutusan khas keselamatan jalan raya menjelang Aidilfitri, Perdana Menteri mengingatkan mereka yang pulang ke kampung sempena Hari Raya ini agar menjauhi sikap mementingkan diri sendiri apabila memandu.
"Sebelum memulakan perjalanan, pastikan kenderaan dalam keadaan baik, jangan sesekali abaikan penggunaan tali pinggang keledar depan dan belakang bagi melindungi keluarga dalam keadaan kecemasan, patuhilah undang-undang yang ditetapkan di jalan raya.
"Yang penting, hindarilah sikap mementingkan diri sendiri atau tergopoh-gapah sehingga cuai apabila memandu.
Tidak salah jika kita semua mengamalkan pemanduan berhemah dan bersikap tolak ansur demi keselamatan bersama," katanya.
Kepada mereka yang menggunakan perkhidmatan awam, Abdullah mengingatkan mereka agar membeli tiket dari kaunter yang sah bagi mengelak daripada ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Perdana Menteri mengingatkan pengusaha kenderaan awam terutama bas ekspres supaya memastikan kenderaan mereka sentiasa dalam keadaan baik dan jangan hanya kerana ingin mengaut keuntungan berganda, nyawa penumpang dijadikan sandaran.
-- BERNAMA
www.bernama.com
* Kemalangan boleh dielak jika strategi baru dilaksana, bukan strategi lama yang punyai rekod gagal
No comments:
Post a Comment