09 September 2008

Azwan hairan kereta dicuri walaupun pagar kunci teknologi canggih

Hadiah Umrah Kalau Jumpa CRV Azwan!

KUALA LUMPUR, 9 SEPT 2008: Susulan daripada insiden kehilangan kenderaan jenis Honda CRV berwarna kelabu cokelat metalik milik pengacara Azwan Ali, pada 4 September lalu, pengacara itu berniat akan menghadiahkan pakej mengerjakan umrah kepada umat Islam yang berjaya menemui kembali keretanya itu.

Bercakap kepada portal murai.com.my sempena pelancaran program bual bicara terbarunya Amboi, Amboi, Amboi... di Hotel Palace of Golden Horses, di Seri Kembangan, semalam, Azwan berkata niatnya itu sememangnya ikhlas dan dia akan menghadiahkan pakej pelancongan ke luar negara bagi mereka yang bukan muslim.

Katanya, CRV yang bernombor pendaftaran WQH 3900 itu dipercayai dicuri oleh satu sindiket dan kejadian berlaku di dalam perkarangan rumahnya yang berpagar di Ukay Perdana, Hulu Klang sekitar jam 1.30 pagi. Difahamkan, CRV itu berharga hampir RM200,000.

Jelas Azwan, dia sudahpun melaporkan kejadian itu kepada pihak polis sejurus mendapati kereta yang baru dibelinya tidak sampai setahun itu hilang dan polis menyatakan kereta Azwan adalah CRV ketiga yang menjadi mangsa kecurian di sekitar Ampang pada malam yang sama.

"CRV itu ibarat office saya. Dalam kereta itu ada banyak barang penting berkaitan kerja saya seperti segala data dan rekod program TV yang saya hasilkan. Daripada sembahyang hajat yang dibuat oleh keluarga saya di sini dan Makkah, ia memberi bayangan bahawa ia satu perbuatan khianat," katanya.

Azwan hairan, bagaimana kawasan kediamannya yang sudah dikunci dengan teknologi canggih masih berjaya dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

"Kejadian itu berlaku ketika saya sedang penat menghabiskan penggambaran satu program TV yang menyebabkan saya tidur keletihan pada malam itu. Ada sumber mengatakan, ia adalah sindiket mencuri yang dilakukan oleh pihak tertentu, di mana sasarannya adalah golongan artis.

"Apa yang saya harap, kalau pencuri itu tidak mahu pulangkan kereta, pulangkanlah segala barang-barang penting itu di depan pintu rumah saya," pinta Azwan bersungguh-sungguh.

Sehubungan itu bagi sesiapa yang ingin memberikan maklumat lanjut berkenaan kecurian kereta Azwan, bolehlah menghubungi talian 012-2896 100.

www.murai.com.my

No comments:

Post a Comment