06 August 2008

Cara paling kotor dalam sejarah pilihanraya?

Hadapkan ke mahkamah, usaha halang Anwar sertai pilihan raya kecil

Tindakan mengheret Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke mahkamah sebaik sahaja pengumuman mengenai Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh dibuat adalah usaha menghalang beliau menyertai pilihan raya tersebut.

Demikian kata Setiausaha Agung PAS, Dato’ Kamarudin Jaffar dalam respons awalnya terhadap perkembangan tersebut kepada Harakahdaily hari ini .

Anwar dilaporkan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di Jalan Duta jam 10.00 pagi esok.

Sebelum itu, Kamarudin telah mengirimkan satu SMS kepada Harakahdaily menyatakan Anwar akan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Menurut Kamarudin, paling menghairankan tindakan ini dibuat sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya membuat pengumuman penting mengenai pilihan raya Permatang Pauh yang disebut Anwar menjadi medan kembali ke arena politik.

Sementara itu Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin pula menyatakan bahawa tindakan itu berniat jahat dan sengaja dilakukan tatkala kerajaan melihat rakyat memberi sokongan penuh kepada Anwar.

AMK turut kesal dengan perkembangan itu dan menyifatkan ia tindakan yang menyempitkan lagi ruang demokrasi, katanya.

Justeru atas solidariti kepada Anwar, AMK telah menghubungi semua petugasnya untuk mengadakan himpunan menyokong Anwar di hadapan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 9.00 pagi esok.

Anwar dilaporkan akan dihadapkan ke mahkamah esok berikutan kertas siasatan dakwaan liwat yang dibuat Saiful Azlan pada 28 Jun lalu.

Polis dilaporkan telah menyerahkan satu dokumen kepada Anwar berhubung pertuduhan itu.

Dokumen itu diserahkan di kediamannya di Bukit Segambut, tatkala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru sahaja menetapkan tarikh pilihan raya kecil Permatang Pauh yang akan disertainya pada 16 Ogos ini.

Sumber KeADILan menyatakan bahawa, dokumen itu disampaikan oleh pegawai penyiasat kes dakwaan meliwat, DSP Jude Pereira di rumah Anwar jam 12.00 tengahari tadi.

Sementara itu, dalam satu sidang media di Putrajaya pagi tadi, SPR mengumumkan pengundi di Permatang Pauh akan menentukan ahli Parlimen baru kerusi itu pada 26 Ogos.

SPR yang bermesyuarat hari ini menetapkan hari penamaan calon pada 16 Ogos.

Permatang Pauh merupakan kerusi tradisi Anwar selama 17 tahun sejak memenanginya pada 1982 atas tiket BN.

Namun sejak 1998, kerusi itu disandang oleh Presiden KeADILan, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menguasainya selama tiga penggal sewaktu Anwar dipenjarakan pada 1999 dan 2004.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menyatakan seramai 58,459 pemilih termasuk 490 melalui pos layak membuang undi.

Daftar pemilih yang digunakan dalam pilihan raya tersebut dikemaskinikan sehingga 31 Julai, katanya.

Beliau mengingatkan semua calon supaya tidak menyentuh sebarang isu yang melibatkan kes-kes petisyen pilihanraya umum lalu dalam kempen-kempen mereka.

Abdul Rashid juga menyeru calon-calon menjaga tatatertib berkempen dan mematuhi undang-undang.

- HarakahDaily

No comments:

Post a Comment