Mashitah perjelas kekeliruan fatwa buat pinjaman tunai haji
IPOH 6 Ogos - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim menjelaskan kenyataannya bahawa umat Islam di negara ini dibolehkan membuat pinjaman peribadi bagi menunaikan haji adalah berpandukan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Ke-69 empat tahun lepas.
Beliau berkata, muzakarah itu yang berlangsung di Johor Baharu dari 13 hingga 15 Jun 2005 telah memutuskan bahawa skim pinjaman daripada koperasi ataupun seumpamanya untuk menunaikan fardu haji ataupun umrah adalah harus.
``Saya merujuk kepada fatwa yang membolehkan dan mengatakan bahawa harus bagi seseorang itu berhutang tapi bersyarat. Syaratnya ialah bahawa dia (peminjam) mampu untuk membayar balik hutang tersebut dan tidak menjejaskan kehidupan normal.
``Skim itu diuruskan melalui badan ataupun koperasi yang mementingkan kepada prinsip ikhlas, ta’awun, adil dan telus dalam operasinya di samping bebas daripada unsur riba,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Pembangunan Industri Halal Nasional Negeri Perak, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kekeliruan yang timbul berhubung kenyataannya dua hari lepas bahawa umat Islam di negara ini dibolehkan membuat pinjaman peribadi bagi menunaikan haji.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa umat Islam tidak boleh membuat pinjaman peribadi dengan syarikat kewangan atau bank untuk menunaikan ibadah haji.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment