25 August 2008

Siapa sediakan teks sumpah Saiful?

Dakwaan Ramlang tidak berasas – Mufti

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Dakwaan Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi bahawa sumpah Mohd. Saiful Bukhari Azlan tidak mengikut syariat adalah tidak berasas kerana dibuat tanpa merujuk kepada mana-mana kitab.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, adalah menjadi kesalahan yang besar sekiranya seseorang memperkatakan mengenai hukum agama berlandaskan akal fikiran semata-mata.

“Ia tidak ada mana-mana rujukan, hanya berdasarkan pendapat peribadi dan ini salah besar... bercakap hal hukum berasaskan fikiran sendiri adalah kesalahan yang besar dalam Islam.

“Hukum ini (bersumpah) adalah hukum Allah yang terdapat dalam al-Quran dan as-Sunah dan dihurai serta ditafsir dalam pelbagai kitab,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Ramlang yang disiarkan beberapa laman web pro-pembangkang bahawa cara bersumpah Mohd. Saiful tidak boleh digunakan kerana tidak mengikut kaedah Islam.

Wan Zahidi berkata, Imam Ibnu Qayyim telah menjelaskan jika seseorang mahu memperkatakan mengenai hukum Islam, mereka mestilah bertanggungjawab terhadap Allah.

Katanya, bercakap mengenai hukum Allah dengan kepentingan lain selain daripada kebenaran adalah satu dosa yang amat besar. - Utusan.

No comments:

Post a Comment