SEREMBAN: “Saya tidak sangka tindakan memberitahu jiran mengenai ada lelaki tidak dikenali cuba memasuki rumah membolehkan saya menerima sijil penghargaan daripada polis,” kata Mohd Ashriq Hakimi Bakhtiari, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Dusun Nyior Ampangan, dekat sini.
Mohd Ashriq menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berikutan tindakannya melaporkan satu kegiatan mencuri oleh seorang lelaki terhadap jirannya hingga tertangkapnya pencuri berkenaan.
Menceritakan kejadian itu, Mohd Ashriq berkata, kejadian itu berlaku pada 10 Julai lalu ketika dia dan rakan lain sedang bermain di taman permainan berhampiran rumahnya di Taman Dusun Nyior apabila ternampak seorang lelaki dalam lingkungan usia 20-an cuba memasuki rumah jiran.
Menyedari keadaan itu, dia menelefon jiran berkenaan yang ketika itu tiada di rumah bagi memberitahu kejadian sebenarnya.
Sebaik sampai di rumah, jirannya itu mendapati beberapa barangan elektrik sudah dilarikan lalu menghubungi polis.
“Saya syak lelaki itu memasuki rumah jiran untuk mencuri dan saya tidak berlengah dan terus menghubungi jiran,” katanya selepas menerima sijil berkenaan sempena majlis penyerahan sijil penghargaan kenaikan pangkat di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, semalam.
Sementara itu, Saiful Azly berkata tindakan Mohd Ashriq wajar dicontohi kerana kecekapannya bertindak cepat hingga berjaya membantu polis menyelesaikan kes kecurian.
Beliau berkata, polis diberitahu mengenai tindakan lelaki tidak bertanggungjawab itu yang kemudian menahannya mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam rumah.
“Walaupun usianya baru 10 tahun, namun sikap Mohd Ashriq amat terpuji dan berharap murid itu dapat dijadikan contoh oleh orang lain termasuk di kalangan dewasa supaya bekerjasama untuk membanteras aktiviti jenayah,” katanya.
www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment