06 August 2008

Belasah ibu kerana RM2

KOTA BHARU: Berang kerana enggan memberi wang RM2, seorang lelaki tergamak menumbuk dahi ibunya sebelum membakar rumah sendiri hingga menyebabkan tiga rumah lain turut musnah terbakar, semalam.

Sebelum kejadian kira-kira jam 4.25 petang di Kampung Sireh, Bawah Lembah, dekat sini, lelaki berusia 35 tahun itu meminta wang RM2 daripada ibunya, Kamariah Hamzah, 65, kira-kira jam 10 pagi.

Wanita itu tidak mempunyai wang kecil menyebabkan lelaki terbabit berang sebelum mengunci semua pintu rumahnya dan menyalakan api menggunakan dapur gas sebelum merebak dan memusnahkan rumah berkenaan dan tiga rumah jiran berhampiran.

Sebelum itu, lelaki dipercayai penagih dadah itu turut menumbuk ibunya sehingga terpaksa menerima tujuh jahitan di dahi sebelum dia ditahan polis.

Bapa tiri suspek, Ibrahim Sulong, 72, berkata sebelum kejadian, isterinya mendakwa anak tirinya itu meminta wang RM2, tetapi dia tidak beri kerana tiada wang kecil.

“Kerana marah, dia mengunci semua pintu rumah dan terus menyalakan api dipercayai menggunakan dapur gas sebelum merebak dan membakar tiga rumah lagi.

“Ketika kejadian, pak cik berada di kedai kopi berhampiran dan dimaklumkan jiran selepas ternampak asap,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, sebelum kejadian, beberapa anggota polis sudah berada di kawasan rumahnya untuk memberkas suspek selepas dipercayai mencederakan ibunya.

“Sudah menjadi kebiasaan anak tiri saya itu akan meminta wang, tapi tadi (semalam) ibunya tidak dapat memenuhi permintaannya.

“Pak cik tidak sangka tindakan itu akan memberi kesan kepada jiran lain yang kini terpaksa tinggal sehelai sepinggang.

“Bagaimanapun, pak cik bersyukur kerana isteri terselamat walaupun cedera di dahi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mat Ariffin Mat Amin, 71, berkata ketika kejadian, dia berada tidak jauh dari rumahnya sebelum bergegas pulang sebaik ternampak asap.

“Ketika itu, hanya isteri (Saedah Mahmud, 62,) di rumah tapi dia terselamat walaupun kami tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu dan Kota Darulnaim bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.25 petang.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohd Shukri Ismail, berkata ketika tiba ke tempat kejadian, hampir keseluruhan rumah berkenaan terbakar dan pihaknya mengambil masa 15 minit bagi mengawal api daripada merebak ke kawasan lain.

“Jumlah kerugian dianggarkan RM200,000 termasuk membabitkan satu rumah kosong yang tidak berpenghuni,” katanya.

www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment