1,939 Kematian Melibatkan Penunggang Dan Pembonceng Motosikal Sehingga Jun
PETALING JAYA, 5 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 1,939 kematian dicatat dalam kemalangan yang membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal sehingga Jun lepas berbanding 211 kematian dalam tempoh yang sama tahun lepas, kata Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat.
Beliau berkata hasil daripada kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati lebih 60 peratus daripada jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di kalangan penunggang dan pembonceng motosikal disebabkan kecederaan di kepala.
Sehubungan itu, katanya penunggang dan pembonceng motosikal hendaklah sentiasa memakai topi keledar yang disahkan Sirim dengan kemas dan betul kerana ia merupakan satu-satunya alat yang dapat memberi perlindungan di bahagian kepala.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya pada perasmian program Inisiatif Topi Keledar Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dengan kerjasama Media Prima, New Straits Times (NST) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini, Isnin.
Teks ucapan beliau dibacakan timbalan menteri berkenaan Datuk Seri Lajim Ukin.
Ong berkata program ini akan memberi peluang kepada semua pihak menaja seberapa banyak topi keledar untuk didermakan kepada penunggang dan pembonceng motosikal di 150 daerah di seluruh negara terutama di kawasan luar bandar.
"Program ini merupakan satu langkah intervensi yang penting dalam usaha memulihkan keadaan sekarang di mana paras kegunaan topi keledar ialah 40 peratus hingga 50 peratus di kawasan luar bandar berbanding 90 peratus di bandar," katanya.
Ong berkata usaha kerajaan dalam mengurangkan kadar kemalangan memerlukan penglibatan dan sokongan semua lapisan masyarakat termasuk majikan, pemimpin masyarakat, ahli politik dan badan profesional.
Beliau berkata individu atau sektor swasta dan korporat serta badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menaja boleh menghantar sumbangan melalui Bank Draf, Postal Order, Money Order atau cek berpalang atas nama Majlis Keselamatan Jalan Raya atau akaun Majlis itu di CIMB Bank yang bernombor 1601-0000968-05-4.
Sumbangan itu akan dikumpul dan Majlis Keselamatan Jalan Raya akan membeli topi-topi keledar bagi diagih secara percuma untuk 150 daerah di seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Pengarah JKJR Datuk Suret Singh berkata secara purata, setiap hari terdapat 10 hingga 15 penunggang motosikal terkorban dalam kemalangan manakala 30 hingga 45 penunggang pula cedera parah.
"Untuk menggalakkan semua penunggang motosikal di negara ini menggunakan topi keledar yang mematuhi standard tertentu, kami minta pihak Kastam melarang pengimportan topi keledar dari luar negara yang tidak mematuhi standard," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment