05 August 2008

Pukul AJK Umno bahagian dengan kayu golf kerana abang tidak dicalonkan ketua bahagian

Ahli UMNO cedera dipukul kayu golf

IPOH - Seorang ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Cawangan Pernas Charter Management (PCM) di sini cedera di kedua-dua belah kaki akibat dipukul dengan kayu golf oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengan abangnya yang tidak dicalonkan bertanding Ketua UMNO Bahagian Gopeng semalam.

Mangsa, Abdullah Abdul Hamid, 44, yang merupakan eksekutif di sebuah yayasan di sini dihantar ke Hospital Permaisuri Bainun di sini untuk mendapatkan rawatan.

Dalam kejadian yang berlaku pukul 4.30 petang itu, Abdullah yang baru sahaja selesai mengadakan mesyuarat persidangan UMNO cawangan berkenaan secara tiba-tiba dihampiri seorang lelaki yang dikenalinya.

"Dia bertanyakan mengenai pencalonan yang dibuat cawangan berkenaan dan saya terus memaklumkan hasil mesyuarat itu kepadanya.

"Lelaki berkenaan naik berang selepas mengetahui abangnya tidak dicalonkan untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian tersebut," cerita beliau pada sidang media khas yang turut dihadiri Ketua UMNO Cawangan PCM, Hishamuddin Abdul Rahman.

Jelas Abdullah, lelaki itu yang juga AJK UMNO Cawangan Kampung Pisang kemudiannya mengeluarkan sebatang kayu golf di dalam keretanya lalu memukul ke arahnya.

"Saya yang terkejut melarikan diri sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Permaisuri Bainun sebagai pesakit luar," katanya.

Menurut beliau, kejadian tersebut merupakan pengalaman pertama seumpama sejak menyertai UMNO pada 1995.

Sementara itu, jurucakap Balai Polis Batu Gajah ketika dihubungi mengesahkan mangsa telah membuat laporan dan polis sedang menyiasat kes tersebut.

www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment