28 August 2008

Prof Ibrahim dikecam kerana perkauman | Akibat lantikan bukan kerana paling layak tetapi paling pengampu

Kenyataan Prof Ibrahim didakwa berbaur perkauman

Wanita MCA hari ini menuduh Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Seri Prof Ibrahim Abu Shah menjadikan pendidikan sebagai isu perkauman.

Timbalan Ketuanya, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, akhbar Sin Chew Daily telah melaporkan semalam bahawa Ibrahim mendakwa pihak swasta enggan mengambil graduan UiTM bekerja.

"Artikel itu juga melaporkan beliau tetap dengan pendiriannya yang enggan membuka kuota 10 peratus tempat di UiTM kepada bukan bumiputera," kata Chew sambil melahirkan kekecewaannya terhadap kenyataan naib canselor UiTM itu.

"Jika ada orang yang cuba menghasut majikan supaya jangan menerima graduan UiTm, kita mesti mengecamnya," katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangannya terhadap tindakan ahli-ahli pendidikan yang didakwanya memainkan isu-isu perkauman.

"Walaupun Prof Ibrahim adalah naib canselor sebuah institusi pengajian tinggi, tetapi kerangka pemikiran beliau nampaknya masih mempunyai unsur-unsur perkauman.

"Beliau nampaknya telah menukar pendidikan menjadi isu perkauman," kata Chew sambil menambah, Ibrahim juga telah membangkitkan sentimen perkauman pelajar yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

'Kerangka pemikiran sempit'

Tidak ragu lagi, tambahnya, kenyataan Ibrahim itu telah membangkitkan kemarahan ramai orang.

Sebaliknya, kata Chew, lebih ramai rakyat Malaysia yang telah mengikis kerangka pemikiran perkauman dan berusaha ke arah keterbukaan, ketelusan dan pengalaman demokrasi.

"Kita kini berdepan dengan keadaan di mana seorang naib canselor universiti menggunakan kerangka pemikiran yang sempit untuk menguruskan universiti.

"Ini bercanggah dengan langkah kerajaan untuk mempromosi perpaduan nasional di kalangan pelajar universiti," katanya sambil menggesa kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi supaya memandang berat perkara itu.

"Bila kemasukan ke sebuah universiti dinafikan untuk bangsa-bangsa lain kerana kepentingan politik dan dasar kerajaan, ini mengakibatkan pelajarnya hanya terdiri daripada satu kaum sahaja," katanya.

Chew berkata, kekurangan nilai-nilai sejagat dan pluralisme mungkin mengakibatkan graduan dari universiti seumpama itu kurang berdayasaing.

Menurutnya, jika naib canselor berkenaan berpegang kepada kerangka pemikiran yang sempat dan ditambah pula dengan protes pelajar UiTM, maka ia akan menggalakkan sentimen perkauman di universiti berkenaan.

Perpaduan nasional

Sehubungan itu, Chew meminta kerajaan supaya mengkaji perkara itu secara serius.

Beliau juga menekan bahawa perpaduan nasional perlu bermula dengan dasar pendidikan yang adil dan terbuka.

Menurutnya, jika kakitangan awam mempunyai kerangka pemikiran 'xenophobic' (gerunkan orang asing), maka ia akan mengakibatkan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang berat sebelah.

Tambahnya, tidak harus ditoleransi sikap dan pengaruh seumpama itu.

Chew juga mencadangkan, dalam pengambilan kakitangan kerajaan, terutama guru dan pengetua, kerajaan mesti tegas dalam menentukan pandangan pemohon terhadap perpaduan nasional.

"Kerajaan juga mesti terus menganjurkan kursus-kurus perpaduan nasional bagi memastikan para pendidik dan kakitangan kerajaan bersikap saksama dalam melaksanakan tugas mereka," katanya.

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment