Pindah ikut jalan belakang - ‘Makhluk halus’ punca histeria sekolah dipindah guna van
KUANTAN - Tindakannya mungkin tidak dipercayai ramai, tetapi kepada Sahabudin Shamsudin atau Pak Din, bungkusan plastik yang dibawa keluar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, di sini semalam adalah penamat kepada kejadian histeria yang dialami guru dan pelajar di situ sejak Mei lalu.
Pengamal perubatan tradisional itu merahsiakan isi bungkusan dalam beg plastik biru itu tetapi yakin matlamatnya sebagai umpan untuk membawa keluar apa yang dianggap sesetengah pihak sebagai makhluk halus, sudah berjaya dilaksanakan.
Malah, ia dilakukan dalam diam sehingga pihak sekolah dan media yang menunggu proses pemindahan itu sejak awal pagi, tidak menyedari kehadiran beliau.
Ini kerana mereka tidak menggunakan bas seperti yang dilaporkan semalam, semuanya gara-gara pemandu kenderaan itu tidak berani melakukannya.
Akibatnya, Pak Din terpaksa mendapatkan khidmat seorang rakan untuk memindahkan makhluk halus itu dengan van yang dinaiki mereka berdua ke satu lokasi rahsia kira-kira 20 kilometer dari situ.
Tambah beliau lagi, makhluk halus yang dipindahkan itu sebenarnya 'satu keluarga' yang didakwa mengikutnya keluar dari pintu belakang sekolah berkenaan untuk dipindahkan.
"Mereka terdiri daripada 14 'dewasa' dan tujuh 'kanak-kanak', saiznya macam kita," dakwa beliau ketika ditemui selepas proses pemindahan itu selesai semalam.
Pak Din menambah, pemindahan tersebut terpaksa dibuat dalam diam bagi mengelak ia menjadi tumpuan ramai dan mencetuskan gangguan.
Menceritakan detik pemindahan itu, Pak Din yang sudah mengendalikan tugas seumpama itu di beberapa negeri berkata, sewaktu perjalanan, van itu terasa membawa muatan yang sangat berat.
"Kalau tak silap saya, van itu hanya dapat dipandu tak sampai 30 kilometer sejam sebab berat macam bawa 23 orang tetapi yang nampak hanya saya dan pemandu," katanya.
www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment