02 August 2008

Pak Lah tidak tahu kes Anwar sudah di tangan peguam negara?

Proses perundangan kes liwat Anwar tetap diteruskan – PM

PUTRAJAYA 1 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, proses perundangan membabitkan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diteruskan meskipun Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengumumkan akan bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Perdana Menteri berkata, Anwar tidak boleh menggunakan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu bagi melindungi dirinya daripada proses undang-undang yang sedang berjalan sekarang.

Beliau menegaskan, proses itu hanya akan dihentikan jika siasatan mendapati tiada sebarang kes yang membolehkan pendakwaan dibuat ke atas Anwar.

“Pelik sikit kalau itu niat dia (untuk mengelakkan proses perundangan)... dia tidak boleh lari daripada kes itu kerana sudah tentu pihak berkuasa akan mengikut proses undang-undang dan Jabatan Peguam Negara akan menentukan sama ada kes itu akan dibawa ke mahkamah atau sebaliknya.

“Kalau tidak ada kes, apa lagi... hentikan siasatan dan gugurkan kes itu. Saya pun tidak tahu apakah hasil siasatan polis,” kata Perdana Menteri pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Brunei, Al-Muhtadee Billah Hassanal Bolkiah Muizzaddin di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Abdullah, proses undang-undang dan pilihan raya tidak boleh dicampuradukkan kerana kedua-duanya adalah dua perkara yang berbeza.

“Kes berkaitan Anwar itu telah berjalan, tak kan tiba-tiba hendak berhenti. Tidak pernah berlaku proses undang-undang membabitkan sesuatu aduan dihentikan semata-mata kerana seseorang hendak bertanding dalam pilihan raya atau memegang jawatan.

“Bagi proses pilihan raya, kita serahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tentukan tarikhnya mengikut tempoh yang ditetapkan,” ujar Perdana Menteri.

Abdullah juga menegaskan, kerajaan tidak berniat menghalang Anwar daripada bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh, kerusi Parlimen yang dikosongkan oleh isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail.

“Kalau dia layak bertanding, dia akan bertanding dan kita tidak akan menghalangnya,” kata beliau.

Abdullah mengingatkan, apa yang ditekankan oleh kerajaan sekarang adalah proses memberikan keadilan kepada semua pihak termasuk bekas pembantu Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang membuat aduan mengenai kes liwat tersebut.

“Dia (Mohd. Saiful) yang buat aduan, dia yang marah dan minta pembelaan, jangan kita lupakan dia.

“Kita kena jalankan kewajipan supaya tuntutannya dapat dibawa ke mahkamah untuk diadili dan dibuat keputusan,” katanya.

Pada 28 Jun lalu, Mohd. Saiful membuat laporan polis mendakwa Anwar meliwatnya, kali terakhir dua hari sebelum itu di sebuah kondominium di Damansara.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment