CHICAGO: Sekumpulan enam peguam wanita Muslim Amerika Syarikat menubuhkan firma guaman pertama yang semua pekerjanya wanita, dalam usaha membantu memerangi diskriminasi ke atas masyarakat Islam di negara itu.
Semua mereka bertekad menjadi peguam bagi melindungi saudara seagama yang sering menjadi sasaran selepas kejadian 11 September, 2001.
Pendirian itu melahirkan firma Kumpulan Guaman Amal yang menawarkan bantuan undang-undang bagi penduduk Muslim serta memperbetulkan salah faham dan kekeliruan yang timbul membabitkan wanita Muslim, lapor Chicago Tribune, semalam.
Ia dibuka sejak akhir tahun lalu dan menawarkan perkhidmatan membabitkan isu hak asasi awam, peraturan pekerjaan, jenayah, isu kekeluargaan, hartanah dan undang-undang Imigresen.
Selain aspek guaman, firma itu turut menganjurkan seminar untuk masyarakat Muslim membabitkan usaha seperti perjanjian perkahwinan selain membantu remaja menangani masalah di sekeliling mereka.
“Ramai penduduk negara ini yang mempunyai tanggapan salah mengenai wanita Muslim. Ada yang mendakwa wanita Muslim ini sebagai mangsa penindasan dan tidak boleh menyuarakan pendapat langsung,” kata salah seorang pengasas firma itu, Janaan Hashim, 41, yang berketurunan Iraq.
“Tidak kurang juga yang melihat wanita Islam sebagai golongan terpinggir dan tidak dibenarkan bersekolah atau mengikut pengajian tinggi serta menyertai program kemasyarakatan,” kata seorang lagi peguam dan pengasas bersama firma Kumpulan Guaman Amal, Maryam Khan, 28 tahun.
Apa yang menarik, biarpun seagama, namun keenam-enam peguam wanita itu mewakili latar belakang, budaya serta etnik berbeza. - Agensi
Malah, ada yang bertudung dan ada yang tidak. Ada juga yang mengikut fahaman Sunnah manakala yang lainnya berfahaman Sunnah, tetapi itu semua bukan penghalang kepada hasrat murni menjelaskan skop Islam serta umatnya kepada Amerika.
“Hakikatnya, kami tidak pernah membicarakan soal perbezaan latar belakang masing-masing. Kami berfikiran terbuka dan saling hormat menghormati,” kata Janaan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Majlis Perhubungan Islam-Amerika cawangan Chicago, Ahmed Rehad memuji usaha enam wanita itu yang disifatkan penting bagi memadamkan tanggapan negatif dan salah mengenai Islam.
“Mereka membuktikan bagaimana anda boleh membantu menangani isu diskriminasi dan pada masa sama menjadi bukti yang Islam tidak menghalang wanitanya menjadi profesional berjaya dalam kerjaya masing-masing.” - Agensi
No comments:
Post a Comment