Besar kepala selepas popular?
NAMA ini pantas sahaja menggapai populariti. Nabil. Bergelar juara Raja Lawak Astro musim kedua dan seterusnya diterima menjadi artis di bawah pengurusan Maestro, pemilik nama sebenar Ahmad Nabil Ahmad ini diketahui umum semakin laris di pasaran dunia hiburan dan sudahpun mengumpul peminat tersendiri.
Namanya melonjak naik dengan drastik sekali dan sudah menjadi kebiasaan apabila sudah bergelar pujaan ramai, maka yang pastinya juga pelbagai kritikan mula dilemparkan terhadap empunya diri yang menjadi titik fokus.
Namun khabarnya akibat disuntik populariti Nabil, 25, kini besar kepala dan lupa diri. Tiba-tiba dia bak pepatah, seperti kacang lupakan kulit apabila dikatakan enggan bernaung di bawah Maestro.
Menolak sama sekali desas-desus yang diperkatakan terhadap dirinya itu, luah Nabil: "Saya bukannya suka-suka ataupun angkuh untuk tidak meneruskan kontrak terbabit tetapi melihat kepada timbulnya beberapa masalah dalaman, jadi saya fikir baiklah saya membuat keputusan yang lebih bijak."
Dengan kejayaan merangkul gelaran Raja Lawak musim kedua, Nabil membuktikan yang dia kini lebih selesa untuk bergerak sendiri berbanding terikat dengan mana-mana kontrak.
Tuturnya lagi, "Kalau saya mula besar kepala seperti yang dihebohkan sudah tentu saya memilih apa sahaja program yang ditawarkan tetapi perkara itu tidak pernah timbul.
"Nabil masih lagi seperti dulu dan menerima apa sahaja program sama ada persembahan amal dan bayaran yang diberikan juga saya tidak pernah berkira," jelasnya yang tidak selesa dihujani spekulasi buruk.
Namun, satu sahaja matlamat Nabil tidak suka dipaksa untuk membuat sesuatu tanpa persetujuan dirinya.
"Kalau kerja kerana terpaksa dan membuatkan diri sendiri tidak seronok, mungkin persembahan saya akan terjejas."
"Saya kena hiburkan diri sendiri dulu barulah penonton juga akan terhibur dengan lawak saya," tegasnya lagi sebelum memulakan rakaman program komedi muzikal, Selamat Hari Raya Jiran Tetangga di Auditorium Perdana, RTM baru-baru ini.
Berlakon tiga buah filem
Memulakan kerjaya sebagai penghantar surat atau mat despatch, dan selepas bergelar Raja Lawak musim kedua sebelum diterima ramai sebagai pelawak spontan, anak jati Negeri Sembilan ini dan tidak pernah menyangka dirinya akan turut dilamar untuk berlakon di layar perak.
Dilamar oleh Prof. Madya Abdul Razak Mohaideen untuk membintangi filem, Cifu Nabil merasakan dirinya amat bertuah kerana menjadi pilihan pengarah filem yang yakin dengan kebolehan dirinya memikul tanggungjawab menghidupkan watak dalam filem itu.
Lebih membanggakan lagi, jelas Nabil dia juga bakal muncul menerusi dua buah lagi filem yang juga berunsur komedi iaitu Kecoh Lagi dan sebuah filem yang bakal diarahkan oleh pengarah terbaik FFM21, Mamat Khalid.
"Selagi rezeki itu ada, saya tidak tolak kerana itu merupakan kepercayaan orang kepada saya. Walaupun kerjaya saya ini memang memenatkan tetapi saya fikir ia berbaloi dengan pendapatan yang diterima dan masa yang diluangkan," ulasnya gembira dengan pencapaian yang dikecapi sehingga kini.
Sambil merendah diri, Nabil langsung tidak menganggap dirinya sudah layak bergelar pelawak nombor satu negara kerana dirinya masih lagi kerdil dalam dunia yang diceburinya itu.
"Gembira sudah tentu dengan kejayaan sehingga kini tetapi masih banyak usaha yang diperlukan. Sekurang-kurangnya kini saya dapat tolong keluarga dengan hasil titik peluh sendiri," katanya sambil tersenyum.
Bergandingan dengan Saiful Apek
Menjadikan Saiful Apek sebagai inspirasinya, Nabil tidak menolak turut menjadikan pelawak popular itu sebagai idolanya sejak dari dulu lagi.
Seorang lagi karyawan seni yang dijadikan sebagai panduan dalam kerjayanya ialah Harith Iskandar.
Ditanya bagaimana keupayaannya dalam membuat lawak dapat diterima umum dengan begitu mudah sekali, pantas Nabil memberitahu, dirinya langsung tidak berkesempatan untuk membuat sebarang latihan.
Beritahu Nabil, segalanya yang berlaku adalah secara tiba-tiba tanpa sebarang perancangan.
"Macam mana saya nak buat perancangan, memang tak ada masa. Selepas habis satu program, saya berkejar pula untuk program lain pula," jelasnya sambil tergelak kecil.
Dia bagaimanapun tidak menafikan sering menonton apa sahaja program yang menampilkan Saiful Apek, selain juga gemar menyaksikan persembahan penghibur terkenal Harith Iskandar.
Tambahnya lagi, hanya dengan menonton dan mengikuti persembahan pelawak lain dapat membantu meningkatkan kerjayanya sebagai pelawak terkenal.
www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment