Ketua bahagian PBS ingin sertai PKR
Satu bahagian PBS dibubarkan bersama ketuanya yang bertindak keluar parti dan menyatakan niatnya untuk menyertai PKR.
PBS bahagian Kiulu dibubarkan semalam apabila majoriti penyandang jawatan dalam bahagian itu meletakkan jawatan masing-masing apabila Sindin Ranggangon, yang mencadangkan supaya presiden parti Datuk Seri Josepah Pairin Kitingan melepaskan jawatan, dikenakan surat tunjuk sebab.
"Ia keputusan majoriti. Kami hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Pairin.
"Kami berasa Pairin hanya mengambil berat terhadap kroninya di Kiulu dan membelakangkan kepentingan penyokong kuat yang berjuang selama ini untuk parti," katanya, lapor Bernama.
Susulan pembubaran bahagian itu, Sindin berkata, sejumlah 3,000 ahli parti di bahagian itu mempunyai pilihan sama ada untuk berehat daripada politik atau menyertai parti lain termasuk Pakatan Rakyat.
"Kami membiarkan mereka untuk membuat keputusan. Dalam kes ini, saya menimbang secara serius untuk menyertai PKR," tambahnya seperti laporan agensi berita itu.
"Dalam politik tiada sesiapa yang kuat atau lemah selama-lamanya."
Pada 14 Ogos lalu, jawatankuasa disiplin PBS mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Sindin kerana menggesa Pairin menyerahkan kepimpinan parti itu kepada pemimpin yang lebih berkaliber.
Sindin mencadangkan timbalan presiden Datuk Dr Maximus Ongkili, yang disifatkannya sebagai lebih layak, bagi menggantikan Pairin.
www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment