Kesan kemenangan Anwar, Mukhriz gesa peralihan kuasa dipercepat
KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pagi ini manakala Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir mahu peralihan kuasa Jun 2010 dipercepatkan bagi menyelamatkan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Keputusan pilihan raya umum kecil Permatang Pauh sudah diketahui dan keputusannya berpihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Beliau akan mengangkat sumpah esok. Segala urusan angkat sumpah dan aturan mesyuarat akan dimaklumkan kemudian," kata Pandikar.
Anwar yang berkempen menggunakan tema Merdekakan Rakyat dan moto "Ke Putrajaya Bermula di Permatang Pauh" - kembali muncul sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh - selepas 'berehat' selama 10 tahun dengan majoriti 15,671 undi.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengatasi majoriti lebih 13,000 undi yang dicatatkan oleh isterinya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Dalam pada itu, Mukhriz menggesa supaya peralihan kuasa dalam Umno disegerakan sebelum pemilihan Umno Disember ini memandangkan keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh yang berpihak kepada Anwar sekali lagi menunjukkan yang rakyat semakin hilang kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) khususnya Umno.
Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan peralihan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan berlaku pada tahun 2010 merupakan satu kesilapan kerana rakyat tidak dapat melihat perubahan dalam tempoh yang boleh diterima.
“Itu satu kesilapan dan membantu Pakatan Rakyat khususnya Anwar untuk menang dalam pilihan raya kecil. Saya harap, kita akan sedar akan kesilapan ini dan tidak lakukannya lagi.
“Ini bukan masanya untuk kita masih memegang jawatan tertinggi walhal rakyat sudah menolak. Itu sebabnya saya harap kita boleh segerakan peralihan kuasa ini,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen semalam. .
Mukhriz berkata, peralihan kuasa perlu dilakukan sebelum pemilihan Umno pada Disember kerana ia bukan hanya melibatkan jawatan Presiden tetapi juga jawatan Timbalan dan Naib-naib Presiden.
“Kalau contohnya ada (peralihan kuasa) di perhimpunan (Agung Umno), timbalan akan ambil alih, siapa pula akan jadi Timbalan Presiden dan siapa pula yang akan naik menjadi naib-naib?
“Ini tidak dapat diselesaikan cuma pada bulan Disember. Ia seelok-eloknya awal lagi,” katanya.
Beliau berkata, BN perlu mengambil iktibar dan mengkaji semula punca kekalahan di Permatang Pauh termasuk menilai semula sama ada mereka kurang sensitif atau pun strategi yang kurang berkesan.
“Kita tidak melakukan tugas yang cukup baik untuk meyakinkan orang ramai. Pada masa ini, tidak banyak yang boleh kita katakan untuk orang percaya dan ini adalah isu kredibiliti.
“Ini disebabkan oleh kepimpinan yang lemah dan kita memerlukan perubahan yang besar,” katanya.
Ketika ditanya sama ada kekalahan itu menunjukkan Umno berada dalam keadaan yang begitu lemah, Mukhriz berkata, Umno berada dalam keadaan paling lemah selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Mukhriz berkata, beliau percaya, ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh, terdapat segelintir orang BN sendiri yang berpihak kepada PKR.
Justeru katanya, perubahan mesti dilakukan sekarang dan ia bukan sesuatu yang boleh dilengahkan.
www.mstar.com.my
No comments:
Post a Comment