05 August 2008

Mahkamah Agung Filipina menjadi penghalang keamanan di wilayah bergolak

Penangguhan perjanjian: MILF, tentera bertempur di Mindanao

Pejuang pemisah dan tentera Manila di selatan Mindanao saling berbalas serangan mortar sejak semalam selepas Mahkamah Agung Filipina mengeluarkan arahan untuk menghentikan perjanjian penyerahan kuasa autonomi kepada penduduk Islam.

Menurut pihak tentera, serangan mortar oleh sekumpulan anggota Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang tidak diketahui jumlahnya itu dilancarkan ke atas pos tentera berhampiran bandar Midsayap di selatan Mindanao, lewat semalam.

Pihak tentera berkata, pejuang telah mengambil kedudukan di pinggir bandar dengan menghalau lebih 300 keluarga, sekali gus mencabuli gencatan senjata yang dimeterai pada 2003.

“Anggota MILF itu telah melancarkan berbelas-belas tembakan mortar ke arah pihak tentera.

“Kami membalas tembakan tersebut namun masih belum ada laporan mengenai korban atau kecederaan,” kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Julieto Ando.

Jelasnya, kumpulan pemisah yang melancarkan serangan didapati melanggar arahan pucuk pimpinan MILF yang mahu mereka meninggalkan kawasan itu ketika kedua-dua pihak merundingkan perjanjian.

Serangan berlaku selepas Mahkamah Agung di Manila menghalang kerajaan daripada menandatangani perjanjian yang memberikan MILF kuasa pentadbiran dan ekonomi di kawasan semi-autonomi di selatan Mindanao.

Perjanjian tersebut sepatutnya ditandatangani di Malaysia hari ini namun perintah mahkamah itu kini menjadi batu penghalang baru kepada perjuangan MILF selama hampir empat dekad untuk menubuhkan wilayah Islam di selatan Filipina. – AFP

No comments:

Post a Comment