Laporan doktor Pusrawi tidak lengkap
KUALA LUMPUR 25 Ogos – Seorang doktor tidak boleh membuat satu laporan perubatan yang muktamad dalam kes-kes penderaan seksual termasuk liwat selagi belum selesai membuat empat ujian penting terhadap mangsa.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, pada mulanya, doktor tersebut perlu mendapatkan laporan terperinci daripada mangsa mengenai kejadian itu.
``Seterusnya, beliau juga mesti menjalankan satu pemeriksaan perubatan yang lengkap termasuk di bahagian kemaluan pesakit dan membuat siasatan mengenai kejadian itu.
``Doktor itu juga harus menghantar spesimen-spesimen mangsa ke unit forensik. Keempat-empat langkah itu harus dilakukan sebelum membuat kesimpulan bahawa pesakit pernah melakukan seks luar tabii atau sebaliknya,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Regulatori Kebangsaan 2008, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas risalah yang kononnya merupakan laporan perubatan oleh Dr. Mohamed Osman Abdul Hamid daripada Hospital Pusrawi ke atas Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, yang mendakwa diliwat oleh penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
``Tolong jangan terpengaruh dengan apa yang didakwa sebagai laporan perubatan ini kerana ia tidak lengkap. Pertama sekali kita tidak tahu sama ada laporan yang tersiar dalam risalah itu sahih atau tidak. Laporan perubatan perlu disahkan,” katanya. – Utusan.
No comments:
Post a Comment