KUALA LUMPUR: Laman sembang yang gemar dilayari golongan remaja untuk mencari cinta sejati menjadi tempat seorang pegawai penyelidik wanita bertemu jodoh dengan seorang lelaki dari Pakistan.Wanita dari Bayan Lepas, Pulau Pinang, Salwanis Ma‘az, 31, mengenali Nasir Mahmood Qadri Nisar Ahmed, 39, melalui laman sembang, awal Mac tahun lalu.
Selepas empat bulan berkenalan melalui siber, dia menerima pinangan warga Pakistan itu untuk berkahwin selepas ‘cair’ dengan kata-kata manis lelaki terbabit, apatah lagi penampilannya yang warak.
Bagaimanapun, apa yang diharapkan Salwanis untuk hidup bahagia musnah apabila mendakwa anak kesayangannya berusia tiga bulan dijual suaminya kepada pihak tertentu.
Semalam, dia yang ditemani ibunya, Patahiyah Saari, 59, mengadu nasib kepada Pengerusi Sekretariat Pengaduan Awam dan Pembelaan Masyarakat Pemuda Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim di sini, semalam.
Dia juga membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya selain melaporkan kepada Wisma Putra.
“Ketika ini, jiwa saya sering dihantui kebimbangan, moga dia tidak menjual anak kesayangan saya itu,” katanya ketika ditemui.
Menurut ibu malang itu, kehidupannya kini terumbang-ambing mengenangkan cahaya matanya, Muhammad Bilal dilarikan suami dipercayai ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak 12 hari lalu.
Salwanis turut sedih kerana Bilal masih menyusu badan serta dijadual menjalani suntikan imunisasi, minggu ini.
Mengimbas detik perkenalan dengan Nasir, wanita itu berkata, dia mengenali lelaki Pakistan itu awal Mac tahun lalu menerusi laman sembang.
Dia kemudian memberi persetujuan berkahwin dengannya selepas empat bulan berkenalan di siber.
“Saya tertarik dengan sifat ditunjukkan Nasir. Melalui foto dikirim menunjukkan dia berpakaian mengikut sunnah nabi selain mendakwa sering berpuasa sunat.
“Malah, akibat terlalu cintakan dia, saya sanggup berhenti menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM) dan berhenti kerja sebagai pegawai penyelidik kerana mahu membuka perniagaan bersamanya.
“Walaupun keluarga mulanya menentang keras pilihan saya, mereka akhirnya akur kerana saya tetap bertegas untuk memilih Nasir sebagai suami,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu.
Sepanjang perkahwinan, Nasir menunjukkan kasih sayang tidak berbelah bagi sebelum perangainya mula berubah ketika isterinya mengandung lapan bulan.
Tambahan pula ketika itu, perniagaan pasar raya yang baru diusahakan mereka di Serdang Perdana menghadapi masalah kewangan.
Nasir yang melabur hampir RM200,000 untuk perniagaan itu sering tidak pulang ke rumah tidak jauh dari pasar raya berkenaan.
“Kemuncaknya pada 26 Julai lalu apabila Nasir keluar dari rumah sehelai sepinggang dengan membawa anak dan tidak kembali lagi.
“Saya terlalu bimbang kerana beberapa hari sebelum kejadian, dia menunjukkan wang tunai RM3,000 dan RM20,000 yang didakwa hadiah daripada sepupunya sempena kelahiran Bilal,” katanya.
Sebelum kejadian, kata Salwanis, Nasir pernah menyatakan tertekan tinggal di negara ini dan tidak boleh lagi melihat muka isterinya.
Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, Salwanis bukan saja kehilangan anak, malah terpaksa menanggung hutang perniagaan dan kereta diguna suami yang didaftarkan atas namanya.
Sementara itu, Abdul Azeez berkata, maklumat diperoleh daripada Jabatan Imigresen menunjukkan pasport anak Salwanis dikeluarkan di Pakistan, manakala rekod perjalanan Nasir tertera dia berlepas ke Dubai pada jam 11.15 pagi pada 26 Julai lalu.
“Jelas Nasir merancang membawa lari Bilal kerana mustahil pasport bayi itu dikeluarkan di Pakistan jika dia tiada ‘kaki’ di negara itu.
“Sijil kelahiran Bilal di sini masih ada dengan Salwanis...jadi konsulat jeneral di kedutaan Pakistan tidak mengetahui anak itu dilahirkan di negara ini.
“Kami akan sedaya upaya mendapatkan kerjasama Interpol dan pihak berkuasa di Pakistan serta Dubai untuk menjejak suami Salwanis dan bayi itu,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan perbualan dengan Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, bayi itu kemungkinan dijual.
Abdul Azeez turut menasihatkan gadis tempatan mengelak daripada bercinta dengan warga asing.
Bagi ibu bapa pula, mereka perlu menyelidiki latar belakang lelaki asing yang ingin dijadikan menantu supaya tiada masalah pada masa depan.
http://www.hmetro.com.my/
Padam muka
ReplyDelete