Insiden pukul jurugambar kejadian aneh - MB Selangor
SHAH ALAM, 18 Ogos (Hrkh) - Insiden memukul jurugambar daripada NST dan agensi asing pada hari penamaan calon Permatang Pauh menimbulkan keraguan dan keanehan di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat, termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Katanya, tiada sebab mengapa dua jurugambar itu perlu dipukul oleh ahli KeADILan kerana tidak ada sebarang kejadian yang menimbulkan kemarahan penyokong Pakatan Rakyat.
Beliau yang berada pada hari penamaan calon itu yakin bahawa penyokong Pakatan Rakyat amat mematuhi peraturan dan menjaga disiplin walaupun kehadiran mereka lebih ramai berbanding penyokong Umno-BN.
"Jika benar penyokong KeADILan terlibat saya sendiri akan mencari mereka," katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Selangor, di Dataran SUK di sini hari ini.
Menurut beliau, dakwaan ahli KeADILan terlibat dengan insiden memukul dua jurugambar itu amat tidak lojik kerana tidak ada sebarang kejadian seperti mengoyakkan bendera atau memukul ahli Umno-BN.
Beliau yang berpengalaman bertanding di Dun Ijok, Selangor berkata, suasana hari penamaan calon di Permatang Pauh jauh lebih baik jika dibandingkan di Ijok.
Katanya, ketika hari penamaan calon di Ijok laluan untuk calon dan penyokong KeADILan dihalang oleh penyokong Umno-BN malangnya mereka menyebarkan fitnah bahawa ahli KeADILan telah menceroboh jalan penyokong BN.
Di Permatang Pauh penyokong Pakatan Rakyat amat tertib dan kehadiran mereka semata-mata mahu memberi sokongan kepada calon Dato' Seri Anwar Ibrahim, tegasnya.
Sehubungan itu beliau berharap sudah tiba masanya pemimpin politik dan negara perlu menolak cara keganasan dan mengamalkan demokrasi.
"Saya harap kita perlu pertingkatkan demokrasi, malu dalam penamaan calon pada pilihan raya kecil pun berlaku keganasan," ujarnya.
www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment