15 August 2008

Hospital Pusrawi bertindak matang apabila tidak terburu-buru memecat Dr Mohamed Osman

Khidmat Doktor Yang Memeriksa Saiful Tidak Ditamatkan

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Hospital Pusrawi tidak bercadang untuk menamatkan perkhidmatan Pegawai Perubatannya Dr Mohamed Osman Abdul Hamid, doktor pertama yang memeriksa Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun lalu.

Pengurus Besar Pusrawi Wan Mahmood Wan Yaacob berkata khidmat Dr Mohamed Osman masih diperlukan dan akan kembali bertugas setelah beliau bersedia untuk berbuat demikian.

"Beliau masih bercuti dan kita tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan diberhentikan. Khidmat beliau masih diperlukan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari Khamis.

Ketika ditanya bilakah pegawai perubatan itu perlu melaporkan diri semula, beliau berkata: "Saya tidak mahu komen mengenai perkata itu, berapa lama beliau bercuti dan bila beliau akan kembali bertugas."

Baru-baru ini Dr Mohamed Osman menggemparkan negara apabila mengeluarkan satu akuan bersumpah yang disiarkan di portal berita Malaysia Today.

Jumaat lepas polis mengesahkan mereka telah memulakan siasatan bagi mengesahkan kesahihan akuan bersumpah yang disiarkan Malaysia Today yang didakwa dibuat Dr Mohamed Osman.

Dr Mohamed Osman adalah seorang doktor yang berasal dari Myanmar dan baru setahun bertugas di hospital itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment