28 August 2008

Hari Pertama Anwar Sudah Tunjuk Taring

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Beliau baru sahaja mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh, namun Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menunjukkan taringnya dalam Dewan Rakyat ketika mencelah perbahasan Rang Undang-Undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008.

Anwar, yang juga baru dilantik sebagai Ketua Pembangkang, bangun selepas Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) mencelah perbahasan Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) untuk bertanya sama ada Majlis Peguam masih merupakan badan yang 'mempunyai kredibiliti' untuk memberikan pandangan mereka berhubung rang undang-undang itu selepas pelbagai kontroversi berhubung badan peguam itu.

Mempertahankan pandangan Dr Siti Mariah bahawa pendapat badan peguam itu perlu dirujuk dalam merangka rang undang-undang itu, Anwar sebaliknya secara sinis bertanya anggota dewan itu tidakkah kerajaan yang korup lebih rendah kredibilitinya berbanding badan peguam itu.

"Ini, kerajaan yang membentangkan rang undang-undang ini Isnin lepas tanpa memberi peluang kepada anggota Parlimen, termasuk rakan-rakan di sebelah sana (BN) untuk mengkajinya, dan membentangkannya dengan tergesa-gesa.

"Rang undang-undang ini dipersetujui oleh orang politik yang rakus tapi dibantah semua pakar, badan bukan kerajaan, bukan sahaja Majlis Peguam tetapi juga badan-badan hak asasi manusia... ternyata kerajaan dan Kabinet hari ini takut benar dengan suara rakyat," katanya.

Rang undang-undang yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan dibahaskan sejak Selasa lepas mendapat tentangan daripada anggota Parlimen pembangkang yang mempersoalkan mengapa ia dibentangkan secara tergesa-gesa selain dakwaan bahawa pembentangan rang undang-undang itu mempunyai motif politik dan berhubung kait dengan kes liwat yang dihadapi Anwar.

Kata-kata Anwar itu menyebabkan beberapa anggota Parlimen lain termasuk Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) turut bangun untuk mencelah, sehingga tercetus perang mulut antara Lim dan Tajuddin berhubung isu itu.

Bagi meredakan keadaan itu, Dr Siti Mariah mengambil jalan tengah dengan menyatakan bersetuju dengan pendapat semua pihak, termasuk Tajuddin sendiri.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment