Habuan Chong Wei RM300,000 pencen RM3,000
KUALA LUMPUR 19 Ogos – Pemain badminton negara, Lee Chong Wei yang memenangi pingat perak dalam acara perseorangan pada Sukan Olimpik Beijing akan menerima cek ganjaran RM300,000 malam esok.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau akan menyerahkan cek tersebut kepada pemain berkenaan dalam satu majlis di Pulau Pinang iaitu negeri kelahiran Chong Wei.
“Chong Wei juga akan menerima pencen seumur hidup sebanyak RM3,000 sebulan,” katanya dalam satu pertemuan ringkas dengan skuad badminton Olimpik Beijing di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Beliau yang gembira dengan pencapaian Chong Wei berharap, pemain tersebut dapat mencipta lebih banyak kejayaan pada masa depan.
Dalam perkembangan sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob memberitahu, pencen seumur hidup itu akan bermula 1 September ini.
Terdahulu, Chong Wei dan pasukan badminton Olimpik turut bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Pertemuan itu membolehkan kedua-dua pemimpin negara menyampaikan penghargaan dan ucapan tahniah mereka kepada Chong Wei.
Chong Wei memperolehi pingat perak selepas tewas kepada pemain China, Lin Dan dalam perlawanan akhir sekali gus melenyapkan harapan Malaysia untuk memperolehi pingat emas pertama dalam sejarah Sukan Olimpik.
Hadir sama pada pertemuan itu ialah Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (BAM), Datuk Nadzmi Mohd. Salleh dan jurulatih Misbun Sidek.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment